KHALID  memeriksa perbarisan sempena Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di Dataran Letak Kereta Kompleks 3, Bukit Aman.
KHALID memeriksa perbarisan sempena Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di Dataran Letak Kereta Kompleks 3, Bukit Aman.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Kedudukan dan keadaan geografi daerah Tawau, Sabah, menjadi pilihan militan Daish dari negara ini untuk mengatur pergerakan menyusup masuk ke selatan Filipina.

Kedudukan Tawau di segi tiga bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan berhampiran selatan Filipina selain sibuk dengan aktiviti maritim diambil kesempatan oleh militan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak bersetuju dakwaan Sabah dijadikan transit kepada anggota militan.

“Kedudukan Tawau di segi tiga antara Malaysia, Indonesia dan selatan Filipina. Jadi mereka menggunakan aktiviti ekonomi, aktiviti pergerakan manusia di kawasan itu untuk memudahkan pergerakan mereka dan kami tahu perkara ini.

“Mereka menggunakan kawasan antara Pulau Sebatik, Tawau dan selatan Filipina sebagai lokasi laluan untuk masuk ke Selatan Filipina. Tempat berkumpul di selatan Filipina kerana di situ tempat mereka berlatih,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman, di sini, semalam.

Harian Metro kelmarin, melaporkan satu sel baru pengganas Daish dikesan merancang menjadikan Sabah sebagai transit kumpulan pengganas dari rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan bagi menyusup ke Filipina.

Rancangan itu didedahkan Pasukan Polis Bahagian Cawangan Khas Anti Pengganas (E8) Bukit Aman susulan tangkapan tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan dalam operasi di Sabah dan ibu kota antara 13 hingga 19 Januari lalu.

Khalid mengulas, bekas pensyarah Universiti Malaya yang menyertai Daish di selatan Filipina, Dr Mahmud Ahmad kini merekrut warga Malaysia dan Indonesia untuk menyertai latihan militan.

“Malangnya dia berada di sebelah sana (Filipina), jadi polis tidak dapat mengambil tindakan. Kita akan bekerjasama rapat dengan rakan kita (pihak berkuasa) di Filipina dalam memantau kegiatannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 6:09 AM