Idris (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional  di Putrajaya.
Idris (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional di Putrajaya.

Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan tujuh hingga lapan peratus graduan di negara ini akan menceburi bidang keusahawanan menjelang 2020.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sasaran itu mampu tercapai selaras dengan program keusahawanan yang dijalankan di peringkat kementerian dan di universiti.

“Kita akan mengubah beberapa polisi di kementerian untuk menggalakkan pembabitan penuntut di dalam program keusahawanan selain membenarkan mereka menjalankan perniagaan ketika belajar.

“Selain itu, kita juga akan mengurangkan peratusan pembelajaran teori sebanyak 40 peratus manakala 60 peratus lagi akan diberi tumpuan kepada pembelajaran secara amali,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional (MKPTN) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Idris berkata, melalui program keusahawanan, pihaknya juga akan menerapkan konsep ‘Learn and Earn’ yang tidak bergantung dengan kewangan ibu bapa mahupun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Pelaksanaan ini dapat membantu meningkatkan peratusan penuntut universiti awam (UA) dengan pendedahan keusahawanan secara berstruktur ketika dalam pengajian.

“Malah, kita akan menetapkan Oktober ini sebagai bulan keusahawanan di setiap universiti bagi memastikan program keusahawanan ini akan dapat dijalankan,” katanya.

Menurutnya, kementerian juga akan mengadakan Majlis Anugerah Keusahawanan KPT pada Khamis ini di The Royale Chulan Kuala Lumpur bagi menghargai usaha institut pengajian tinggi (IPT) yang cemerlang dalam pendidikan dan pembangunan keusahawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:24 AM