PEKERJA mengasingkan sisa  yang diproses  AWMAT-TECH.
PEKERJA mengasingkan sisa yang diproses AWMAT-TECH.
myMetro

Kota Bharu: Ikhtiar lima sahabat membantu pihak berkuasa tempatan (PBT), di sini, mengurus sisa pepejal membuahkan hasil apabila teknologi buatan mereka mampu memproses sisa secara teratur.

Mereka mencipta mesin pengasingan yang berkonsepkan teknologi hijau menerusi label syarikat KitarPro Management, sekali gus mampu memperbaiki sistem di tapak pelupusan.

Pengurus Besar KitarPro Management, Tengku Mohd Fadhil Tengku Hamzah berkata, mesin itu dinamakan Affordable Waste Management and Treatment Technology (AWMAT-TECH) adalah inovasi dan kreativiti beliau dan empat lagi rakan untuk bantu PBT merawat sisa pepejal.

“Kami membangunkan mesin ini tahun lalu dengan modal RM50,000 yang menggunakan sepenuhnya teknologi tempatan.

“Ia dicipta mengikut fungsi mudah alih, mesra alam dan lasak yang diperbuat daripada besi tahan karat. Sesuai dengan fizikal sisa pepejal bercampur.

“Selain itu, mesin ini tidak menggunakan elektrik, sebaliknya bahan bakar mesra alam yang ditanggung syarikat kami.

“Prototaip disiapkan dalam tempoh sebulan (September) dan pada November, sebuah mesin diletakkan di tapak pelupusan di Bukit Pak Ajil, Kok Lanas sebagai percubaan.

“Alhamdulillah dalam tiga bulan, kami mampu menguruskan hampir 75 peratus daripada purata jumlah sampah,” katanya ketika ditemui di tapak pelupusan sampah itu di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 10:39 AM