JASAD Tan dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.
JASAD Tan dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.
myMetro

Parit Buntar: Seorang nelayan maut selepas tercampak ke laut susulan bot dinaiki bersama dua rakan merempuh rumah api di perairan Kuala Kurau, di sini awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, mangsa yang lemas ditemui terapung satu kilometer dari lokasi kemalangan.

Mangsa Tan Ah Hin, 55, bersama dua rakannya termasuk pemilik bot berusia 40 tahun dikatakan baru keluar dari pelantar ikan, di sini untuk menangkap ikan dan udang diperairan terbabit.

Rakan mangsa Chew Chee Heow, 40, yang turut sama menaiki bot berkenaan berkata, ketika dalam perjalanan, bot dinaiki terlanggar rumah api dan menyebabkan bot mereka tersangkut di antara dua tiang rumah api berkenaan.

Menurutnya mangsa yang duduk di bahagian depan tercampak ke dalam laut dan gagal dikesan manakala dia dan seorang lagi rakan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami berusaha mencari mangsa namun gagal berikutan keadaan cuaca gelap.

“Saya meminta bantuan rakan nelayan lain bagi mengesan mangsa,” katanya ketika ditemui semalam.

Nelayan Khor Meng Hui, 47, yang menemui mayat mangsa berkata, dia berada tidak jauh dari lokasi kejadian segera membantu mencari mangsa di kawasan berhampiran.

“Saya lihat sebuah tong ikan terapung dan memperlahankan bot sebelum menjumpai mangsa dalam keadaan terapung pada kedudukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Mangsa terus dibawa ke Jeti Perikanan Kuala Kurau untuk diserahkan kepada pihak ambulans dan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 11:20 AM