Idris  ketika hadir pada majlis Amanat Tahun Baru 2017 Kementerian Pendidikan Tinggi di PICC.
Idris ketika hadir pada majlis Amanat Tahun Baru 2017 Kementerian Pendidikan Tinggi di PICC.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan 2017 sebagai tahun penyelidikan translasional yang berperanan menterjemahkan setiap penyelidikan di peringkat universiti supaya lebih fokus, berharga dan relevan.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagi melancarkan usaha itu, kementerian menyediakan Pelan Tindakan Keutamaan Penyelidikan 2017 yang memberi tumpuan kepada program Grand Challenge dan Sasaran Pembangunan Mapan (SDG) yang diterajui universiti penyelidikan Malaysia.

Menurutnya, Pelan Tindakan Keutamaan Penyelidikan 2017 itu turut menumpukan kepada usaha memposisikan penyelidikan untuk keunggulan global selaras Lonjakan 8 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025.

“Penyelidikan translasional adalah penemuan daripada asas sains untuk meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan manusia.

“Malah, dalam konteks penyelidikan perubatan, translasional bertujuan ‘menterjemah’ penemuan dalam penyelidikan asas ke dalam amalan perubatan serta hasil kesihatan yang bermakna,” katanya ketika menyampaikan Amanat 2017 Menteri Pendidikan Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Katanya, antara contoh penyelidikan diwujudkan termasuk penyelidikan dalam bidang teknologi membran yang digunakan untuk merawat air bersih ketika banjir oleh Universiti Sains Malaysia (USM), penyelidikan padi oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berhasil meningkatkan pengeluaran tanaman dan kualiti padi serta penyelidikan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengenai pengesanan virus zika yang digunakan sempena Sukan Olimpik di Brazil tahun lalu.

Dalam pada itu, Idris berkata, mulai September depan, KPT melaksanakan program tahun jarak yang julung kali diperkenalkan bagi memberi kredit kepada kegiatan sukarelawan.

Menurutnya, program itu dibangunkan dengan kerjasama lapan universiti awam (UA) yang antara lain memberi peluang kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman dalam melaksanakan kerja sukarelawan di agensi awam.

“Antara universiti yang bersetuju dalam pelaksanaan tahun jarak ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Tahun jarak bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah diamalkan di universiti luar negara apabila penuntut selepas tahun pertama atau kedua pengajian boleh berhenti selama setahun bagi memasuki agensi, industri atau menyertai khidmat negara,” katanya.

Katanya, tahun lalu, 117,823 sukarelawan dalam kalangan mahasiswa menyertai program Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) dan beliau berharap ia ditingkatkan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:22 AM