Muhammad Fariz (kiri) bersama penjaganya,  wakil kedutaan Malaysia di Quito, Ecuador.
Muhammad Fariz (kiri) bersama penjaganya, wakil kedutaan Malaysia di Quito, Ecuador.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: ‘Alhamdulillah, 24 January fly back to Malaysia (terbang pulang ke Malaysia)... insya-Allah...’

Status ringkas berkenaan dimuat naik rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Ecuador sejak hampir dua bulan lalu, Muhammad Fariz R Azli, 24, menerusi akaun Facebooknya pada 4 Januari lalu.

Susulan daripada status yang dimuat naik, rakan Facebook Muhammad Fariz turut mengucapkan rasa syukur kepada Allah, malah mendoakan urusannya dipermudahkan dan pulang ke tanah air dengan selamat.

Muhammad Fariz memuat naik gambar menjamu selera di rumah seseorang difahamkan wakil Kedutaan Malaysia di Quito, Ecuador berdasarkan keterangan yang ditulisnya.

“Disebabkan ramai yang PM (mesej secara peribadi) dan bertanyakan keadaan saya, saya kongsikan sedikit keadaan saya sekarang.

“Saya selamat dan dijaga oleh wakil Kedutaan Malaysia di sini...Puan Bahai sekeluarga, Alhamdulillah,” katanya.

Kenyataan itu berdasarkan keterangan pada gambar yang dimuat naiknya dan dia memaklumkan, tiket penerbangan ke Malaysia akan diberitahu kemudian.

Gambar itu dimuat naik pada hari yang sama dia menaip status terkini berkenaan kepulangannya ke tanah air yang dijangka pada 24 Januari ini.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro mendapatkan maklum balas daripada Muhammad Fariz menerusi mesej peribadi pada Facebook dan aplikasi WhatsApp belum berjaya.

Kedutaan Besar Malaysia di Santiago, Chile dalam satu kenyataan, kelmarin memaklumkan pemuda terbabit dilaporkan terkandas dua bulan selepas dipercayai diperdaya sindiket penyeludup supaya membawa barangan untuk diseludup ke Malaysia.

Berdasarkan laporan Muhammad Fariz yang berasal dari Pahang sebelum ini ditinggalkan di Guayaquil, namun kini terkandas di Quito apabila tiket penerbangan pulang ke tanah air bertarikh 28 Disember lalu palsu.

Muhammad Fariz ke Guayaquil, Ecuador atas urusan kerja, namun ketika perjalanan pulang ke Malaysia, dia diminta membawa barangan yang disyaki untuk diseludup masuk ke Malaysia.

Bagaimanapun, dia enggan berbuat demikian menyebabkan ditinggalkan di Guayaquil dan selepas sebulan setengah di sana, Muhammad Fariz menghubungi kedutaan melalui FB Kedutaan Besar pada 26 Disember lalu bagi memaklumkan keadaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:31 AM