Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur: Ramai ibu bapa lebih gemar memilih membeli kelengkapan persekolahan pada saat akhir kerana sibuk bekerja sebelum ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati, orang ramai masih mengunjungi beberapa lokasi tumpuan sekitar ibu kota seperti di Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) seawal jam 10 pagi.

Walaupun sesi persekolahan bermula hari ini, ia tidak menjadi halangan bagi mereka memanfaatkan cuti tahun baharu dengan mencari persiapan persekolahan anak.

Bapa, Mohd Efendy Samsudin, 45, berkata, dia mencari beberapa barang tambahan keperluan persekolahan anaknya pada saat akhir seperti songkok.

Dia yang menetap di Hulu Langat berkata, tabiat itu seolah-olah menjadi kebiasaan pada setiap tahun.

“Saya ada dua anak lelaki yang akan bersekolah pada tahun ini, ia menambah kelam-kabut saya dan isteri untuk menyediakan kelengkapan anak.

“Jadi hari ini saya merancang untuk mencari semua kelengkapan sekali gus dan berharap tiada yang tercicir,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Kakitangan swasta Mohd Asri Che Hastam, 45, berkata, dia membuat perancangan dari awal dengan menyediakan jadual barangan kelengkapan sekolah anak.

Katanya, ia bagi mengelakkan ada barangan tertinggal, selain mengelakkan suasana kelam-kabut.

“Selain itu, saya juga sudah membeli beberapa barangan lain seperti beg dan pakaian sekolah sebelum ini.

“Justeru, hari ini saya lebih fokus kepada pencarian kasut sekolah dan alat tulis,” katanya.

Suri rumah, Asiah Maria Abdullah, 30, pula berkata, dia membeli barangan persekolahan anaknya pada saat akhir kerana suaminya sibuk bekerja sebelum ini.

“Kalau boleh, semuanya perlu dibereskan pada hari ini. Saya tidak mahu lagi bertangguh kerana ingin anak berehat di rumah.

“Bagi saya persiapan awal atau lambat sama saja, lagi pun anak juga sudah sedia maklum dan tidak meragam kerana membeli barang pada saat akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 10:49 AM
MOHD  Faiz Fodzi  memakaikan kasut  kepada anaknya, Muhammad Fayruz Ayman Mohd Faiz, 7, di kedai menjual kelengkapan sekolah.
MOHD Faiz Fodzi memakaikan kasut kepada anaknya, Muhammad Fayruz Ayman Mohd Faiz, 7, di kedai menjual kelengkapan sekolah.