Ampang: Seorang kanak-kanak hiperaktif berusia sembilan tahun nyaris terjatuh dari tingkat tiga Flat Pandan Mewah, sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Skein Citbanchong Wee San berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.34 pagi memaklumkan ternampak seorang kanak-kanak cuba terjun melalui pintu jeriji di belakang sebuah rumah.

Katanya, tujuh anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kami mendapati pintu utama kediaman itu berkunci dan terpaksa memecahkannya sebelum dapat masuk.

“Anggota ke bahagian belakang dan memanggil mangsa sebelum dia diselamatkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa sudah mencampakkan beg pakaiannya ke bawah dan ketika hendak turun, dia terperangkap di tingkap.

Beliau berkata, mangsa yang dibawa turun ditenangkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak lelaki itu tiada di rumah kerana keluar bekerja dan meninggalkan mangsa sendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 7:04 AM
KANAK-KANAK hiperaktif nyaris terjatuh dari tingkat tiga  Flat Pandan Mewah, Ampang.
KANAK-KANAK hiperaktif nyaris terjatuh dari tingkat tiga Flat Pandan Mewah, Ampang.