DR Atikullah (dua dari kiri) memberi penjelasan mengenai vaksin.
DR Atikullah (dua dari kiri) memberi penjelasan mengenai vaksin.

Kepala Batas: Suntikan vaksin dilihat satu keperluan untuk menjaga kesihatan dan menyelamatkan nyawa walaupun ada segelintir ibu bapa tidak membenarkan anak mereka menerima suntikan berkenaan.

Ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang Prof Madya Dr Atikullah Abdullah berkata, aspek perlu diberi perhatian ialah tujuan suntikan vaksin diberikan dan ia lebih kepada usaha mencegah jangkitan penyakit berjangkit.

“Kena tengok nas (dalil) yang jelas mengenai penggunaan vaksin dan ia hanya dibenarkan untuk tujuan baik dan jika tujuan tidak baik, ia tidak dibenarkan.

“Dalam konteks negara ini, pengunaan vaksin lebih kepada untuk menjaga kesihatan dan menyelamatkan nyawa,” katanya selaku panel Forum Perdana 2016 anjuran Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang di Masjid Abdullah Fahim, Bertam, dekat sini, malam kelmarin.

Dua lagi ahli panel terbabit dalam forum bertajuk ‘Kepentingan Vaksin dan Penjagaan Kesihatan’ itu ialah pakar jantung, Dr Safari Elis dan pakar jantung kanak-kanak, Dr Ahmad Rustam Mohd Zainudin manakala Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang Prof Madya Dr Abdul Aziz Abdul Rahman selaku moderator.

Penggunaan vaksin dilihat perlu berikutan penyakit difteria dan tuberkulosis (TB) yang dikatakan sudah pupus di negara ini, tetapi dikesan semula dipercayai dibawa pekerja asing yang tidak menerima suntikan vaksin di negara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 9:31 AM