Chew (dua dari kanan) menerima sijil daripada MBOR.
Chew (dua dari kanan) menerima sijil daripada MBOR.

Melaka: Gabungan pelbagai komponen kenderaan terpakai seberat 2,750 kilogram (kg), yang membentuk robot ‘Supreme Prime’, membolehkan The Shore Toy Museum, mendapat pengiktirafan Malaysian Book Of Records (MBOR) sebagai robot terbesar di Malaysia.

Pengurus Eksekutif Kanan The Shore Toy Museum Chew Chert Fong berkata, robot dengan ketinggian kira-kira lima meter itu, diletakkan di perkarangan The Shore Shopping Gallery, berjaya menarik ramai pengunjung ke The Shore Toy Museum yang beroperasi sejak sebulan lalu.

“Robot ini menjadi tarikan baru di The Shore Shopping Gallery, malah membawa kunjungan 10,000 pengunjung Toy Museum di situ dalam tempoh yang singkat.

“Replika robot bernilai RM200,000 ini bukan saja menjadi tarikan kepada pengunjung ke The Shore Toy Museum, malah menjadi ikon teknologi hijau kerana dibina menggunakan komponen kitar semula yang baik untuk alam sekitar,” katanya ketika ditemui.

Chew berkata, selain replika robot, pihaknya juga mempunyai lebih 10,000 replika mainan yang terdiri daripada watak animasi popular dunia termasuk Star Wars, Spiderman, Batman dan sebagainya.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran 200,000 pengunjung melawat muzium yang menelan kos RM3 juta itu pada tahun hadapan.

“Dalam masa yang singkat, kita mendapat sambutan cukup baik daripada pengunjung, jadi kita yakin dapat mencapai sasaran itu tambahan pula replika yang dipamerkan di sini menarik serta sukar ditemui.

“Kita juga akan mengadakan pelbagai program untuk mempromosi The Shore Toy Museum termasuk penukaran barang mainan yang membolehkan kita mendapat lebih banyak mainan atau replika yang sukar ditemui,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menawarkan The Shore Interactive Park iaitu taman tema yang mempunyai 13 elemen 3D pertama di Malaysia, dan terbesar di Melaka.

“Terdapat 60 elemen penggambaran terbaik termasuk menggunakan teknologi realiti tambahan (Augmented Reality) yang boleh merangsang daya imaginasi pengunjung.

“Selain itu, taman tema ini juga mempunyai panggung hologram terbesar dan pertama di negeri ini, membolehkan pengunjung mengalami sendiri kesan teknologi tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 9:10 AM