Pelajar sekolah berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamek Baitul Muttaqin.
Pelajar sekolah berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamek Baitul Muttaqin.

Aceh: Suara nyaring lebih 20 kanak-kanak lelaki berzanji serta berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW memenuhi segenap pelosok pekan kecil Sare di sini.

Beratus penduduk dilihat berpusu-pusu membanjiri sekitar Masjid Jamik Baitul Muttaqin di sini, bagi menyertai sambutan Maulidur Rasul

Program diisi dengan pelbagai acara keagamaan termasuk ceramah, kenduri kesyukuran dan sebagainya.

Penulis yang singgah di masjid itu tertarik dengan hiasan dan gubahan bunga plastik memuji kebesaran junjungan nabi disusun rapi di sepanjang laluan ke masjid itu.

Pelbagai warna bunga berbentuk perkataan antaranya Selamat Memperingati Maulid Nabi Besar Muhammad SAW 1438 Hijrah sumbangan penduduk tempatan dan persatuan diletakkan sepanjang lebih 100 meter.

Di pentas khas pula, sekumpulan kanak-kanak berpakaian serba putih lantang berzanji dan berselawat menggunakan alat pembesar suara sambil tubuh bergoyang mengikut alunan bacaan dilagukan.

Ternyata tragedi gempa bumi yang meragut 101 nyawa dan memusnah hampir 12,000 rumah penduduk bukanlah alasan bagi mereka membatalkan majlis sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun.

Salah seorang ahli jawatan kuasa masjid itu, Abdul Gani Achmad yang ditemui penulis berkata, sambutan maulidur rasul di Aceh disambut luar biasa selama sebulan.

“Di sini sambutannya tidak hanya pada hari pertama kelahiran nabi. Kami melihat musibah bencana alam melanda adalah ujian Tuhan bagi melihat kecekalan kami menerima ujian.

“Gempa bumi yang melanda memiliki makna agar manusia tidak lupa mensyukuri nikmat dan bangun dari kelalaian,” katanya sambil bersungguh-sungguh memujuk penulis merasai hidangan gulai Keumamah (gulai kawah) yang disediakan kepada orang ramai.

Penulis turut mendapati sambutan sederhana Maulidur Rasul diadakan ratusan pelajar pusat pengajian Islam Mahadal Ulum Diniyah Islamiah (MUDI) Samalangkab, Bireuen, di sini, biarpun kemusnahan bangunan dialami agak berat.

Ternyata penduduk Aceh ini cukup tabah menerima ujian Allah SWT dan mempunyai hati teguh serta percaya pada qada dan qadar dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:39 AM