Tunku Ismail (empat dari kanan)   menyaksikan  Najib  menandatangani plak pada  majlis pelancaran reka bentuk pembangunan Fastrack City di Pinewood  Iskandar Malaysia Studios, semalam.
Tunku Ismail (empat dari kanan) menyaksikan Najib menandatangani plak pada majlis pelancaran reka bentuk pembangunan Fastrack City di Pinewood Iskandar Malaysia Studios, semalam.
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Projek pembangunan bandar sukan permotoran terulung Asia di Iskandar Malaysia yang digelar Fastrack City dijangka memacu industri permotoran negara, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kewujudan projek itu mencipta pelbagai peluang ekonomi dan pekerjaan terutama dalam industri pelancongan, prestasi dan penyelenggaraan kenderaan, hospitaliti serta peruncitan.

“Kewujudan Fastrack City melengkapkan reputasi negara ini yang dikenali menerusi Litar Antarabangsa Sepang selain penganjuran Grand Prix Motosikal Shell, Grand Prix Formula 1 Petronas selain Motul Sepang 12 jam yang juga antara empat sukan lasak di dunia.

“Kewujudannya menyerlahkan lagi kemampuan kita untuk memberi peminat, bakat kejuruteraan dan penduduk di wilayah ini akses sukan selain rekreasi yang sesuai untuk keluarga dan sahabat.

“Dianggarkan, 1,200 peluang pekerjaan diwujudkan menerusi pembangunan Fastrack City selain menarik kemasukan hampir 350,000 pelancong ke negara ini setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran logo dan reka bentuk Fastrack City di Pinewood Iskandar Malaysia Studios, di sini, semalam.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Fastrack Iskandar selain Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Fastrack City memiliki litar sepanjang 4.45 kilometer dan menepati kelayakan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) Gred 1 serta Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) Gred A Litar Antarabangsa.

Lebih menarik, ia mendapat sentuhan pereka litar terkenal dunia Herman Tilke yang merangkumi rekaan trek berbukit, litar go-kart antarabangsa gred A selain ‘Advanced Handling Park’ yang menyeluruh untuk keselamatan jalan raya.

Selain dilengkapi pelbagai trek bertaraf antarabangsa, Fastrack City juga menyediakan kemudahan tempat letak kereta bercirikan sistem keselamatan auto-vault dan galeri merangkumi pameran automotif, gerai makanan dan peruncitan.

Terletak di pintu masuk Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, 10 minit dari Link Kedua Tuas, ia dibangunkan dengan kerjasama FASTrack Iskandar Sdn Bhd (FASTrack Iskandar) melalui FASTrack Autosports (Iskandar) Pte Ltd dan usaha sama UEM Land Berhad melalui anak syarikatnya, UEM Sunrise.

Perdana Menteri berkata, apabila siap nanti, Fastrack City bukan saja menjadi hab permotoran, malah membantu melahirkan lebih ramai pelumba berbakat tempatan di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 9:48 AM