MAS Ermieyati
MAS Ermieyati
myMetro

Kuala Lumpur: Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan supaya ditubuhkan Majlis Peguam Syarie dalam usaha meningkatkan lagi profesionalisme dan integriti peguam syarie di negara ini.

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebenarnya sudah banyak penambahbaikan yang dilakukan oleh Mahkamah Syariah sejak 2001 namun pemerkasaan Mahkamah Syariah itu tidak diikuti dengan usaha untuk meningkatkan lagi profesionalisme dan integriti dalam kalangan peguam syarie.

“Padahal profesionalisme dan integriti dalam kalangan peguam syarie akan turut menyumbang kepada proses di Mahkamah Syariah dapat berjalan dengan lancar dan cepat.

“Justeru, Puteri UMNO mencadangkan Majlis Peguam Syarie ditubuhkan bagi meningkatkan profesionalisme dan integriti peguam syarie, sekali gus dapat menyelesaikan masalah kelewatan kes di mahkamah termasuk proses perceraian,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Beliau berkata, kadar perceraian terus memperlihatkan trend yang begitu membimbangkan dengan data terbaharu menunjukkan 267 kes perceraian berlaku setiap hari.

“Hal ini bermakna sekitar 11 hingga 12 kes perceraian terjadi untuk setiap jam, 8,120 kes untuk setiap bulan dan 97,455 kes perceraian selama setahun.

“Fenomena ini memberikan kesan rentetan yang pelbagai kepada golongan wanita muda yang terbabit termasuk kelambatan proses tertentu di Mahkamah Syariah, hak penjagaan dan lain-lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 10:14 AM