Noor Atika  bertugas  di Pejabat Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Indah, Kuala Langat.
Noor Atika bertugas di Pejabat Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Indah, Kuala Langat.
Siraj Mohd Zaini

Kuala Langat: Meskipun keadaan fizikalnya terbatas disebabkan kemalangan enam tahun lalu, ia bukan penghalang buat Noor Atika Sofran, 23, untuk menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioteknologi dari sebuah universiti di Terengganu itu kini menjalani latihan selama setahun sejak September lalu di Ladang East, Sime Darby Plantation Pulau Carey, di sini.

Menurutnya, menerusi SL1M, pelbagai ilmu dan cabaran dunia pekerjaan khususnya dalam bidang perladangan dipelajarinya sepanjang ditempatkan di situ.

“Saya mengalami ‘slip disc’ dan tidak boleh melakukan kerja berat tetapi atas semangat mencari pengalaman bekerja, saya teruskan dengan SL1M.

“Pengalaman tidak mendapat pekerjaan sejak setahun lalu dan jawatan ditawarkan tidak bersesuaian dengan jurusan diambil menyebabkan saya menyertai SL1M kerana ilmu mengenai sains bioteknologi dapat dipraktikkan secara terus,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, bagi graduan Ijazah Kejuruteraan Kimia, Mohd Saffuan Muda, 24, program SL1M yang disertainya bersama Sime Darby Plantation pada 2015 kini membuahkan hasil apabila diterima masuk bekerja di syarikat berkenaan awal Oktober lalu.

“Saya menyertai SL1M di Ladang Sime Darby Plantation di Benut, Pontian pada Ogos 2015.

“Ciri utama untuk berjaya menerusi SL1M adalah gigih menimba pengetahuan dan ilmu selain tidak mudah putus asa untuk mencari peluang pekerjaan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Kumpulan Sumber Manusia Sime Darby Holdings Berhad Nadiah Abdullah berkata, program SL1M dilaksanakan syarikat itu sejak 2009 mula membuahkan hasil selepas 77 peratus daripada keseluruhan peserta mendapat kerja.

Menurutnya, Sime Darby turut menyerap 34 peratus daripada peserta SL1M untuk menyertai pelbagai bidang di dalam syarikat berkenaan sejak lapan tahun lalu.

“Seramai 1,233 daripada 1,602 peserta mendapat pekerjaan selepas menyertai SL1M dan sejumlah 423 peserta kini bekerja dengan Sime Darby dalam pelbagai sektor.

“Keputusan itu secara tidak langsung membuktikan program dianjurkan dengan kerjasama kerajaan ini berhasil mengatasi isu pengangguran graduan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 9:07 AM