KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyampaikan sumbangan kepada  Hashimah pada Majlis Perasmian Kempen Palestin Tidak Dilupakan di Bukit Aman, semalam.
KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyampaikan sumbangan kepada Hashimah pada Majlis Perasmian Kempen Palestin Tidak Dilupakan di Bukit Aman, semalam.

Kuala Lumpur: Aman Palestin Berhad memerlukan sumbangan RM25 juta bagi menyalurkan bantuan kepada 5,000 keluarga di kem pelarian di Syria pada musim sejuk ini selain disalurkan kepada rakyat Gaza.

Ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin, Hashimah Salleh berkata, pihaknya menyasarkan pek bantuan musim sejuk untuk 5,000 keluarga dengan anggaran kos RM438 bagi setiap keluarga.

Beliau berkata, banyak sisa runtuhan rumah tidak dibersihkan sejak serangan berlaku pada tahun 2014 menyebabkan penduduk terpaksa mendirikan khemah di celah runtuhan bangunan.

“Keadaan menjadi lebih sukar pada musim sejuk yang sudah bermula kini.

“Setakat ini Aman Palestin komited untuk membaik pulih infrastruktur di Gaza dan juga khemah pelarian Palestin yang lain.

“Disebabkan itu, Aman Palestin melalui Kempen Palestin Tidak Dilupakan memfokuskan kepada penyertaan derma melalui kaedah auto debit. Dana dikumpul disalurkan bagi tujuan pembangunan dan bantuan musim sejuk,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Palestin Tidak Dilupakan di Bukit Aman, di sini, semalam.

Hashimah berkata, Aman Palestin Berhad menghantar bantuan RM52 juta ke Palestin, Syria, Lubnan dan Jordan sejak ditubuhkan 10 tahun lalu.

“Bantuan kewangan disampaikan itu hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib masyarakat yang menderita.

“Pada musim sejuk tahun ini, Aman Palestin mengagihkan bantuan seperti minyak, pek makanan, baju sejuk dan peralatan kecemasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 9:16 AM