ANGGOTA bomba membantu menghantar pelajar yang mengambil peperiksaan SPM ke sekolah.
ANGGOTA bomba membantu menghantar pelajar yang mengambil peperiksaan SPM ke sekolah.

Taiping: Fenomena air pasang besar yang melanda negeri ini menyebabkan beberapa laluan utama, kawasan perumahan dan sekolah dinaiki air sehingga 0.2 meter di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, lima pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang, di sini, terpaksa menaiki lori bomba selepas kawasan rumah mereka dinaiki air.

Air mula naik sehingga melepasi tebatan yang dibina dan mula memasuki kawasan perumahan.

Keadaan sama berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana Kuala Sepetang dekat sini sehingga menjejas pembelajaran murid di sekolah berkenaan, namun kembali surut kira-kira jam 12.30 tengah hari dan tiada pemindahan mangsa banjir dilakukan.

Guru Besar SK Laksamana Kuala Sepetang, Ramli Hamid, berkata, keadaan itu tidak menjejaskan kehadiran murid dan waktu pembelajaran di sekolah.

“Walaupun kawasan sekolah dan bilik darjah bahagian bawah bangunan lama dimasuki air, kehadiran murid amat memuaskan dan semua guru dan kakitangan kumpulan sokongan hadir bertugas.

“Kebetulan hari ini (semalam) sekolah mengadakan Majlis Sambutan Hari Kanan-Kanak dan semua murid berkumpul dalam dewan bangunan dua tingkat untuk meneruskan pelbagai program,” katanya.

Ketua operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Pegawai Bomba Kanan II, Mustapa Kamal Ismail, berkata pihaknya menggunakan lori bomba untuk menghantar pelajar ke sekolah.

“Kita hanya membantu memindahkan pelajar ini ke sekolah mereka bagi menjalani peperiksaan SPM.

“Sehingga ini, tiada penduduk yang dipindahkan dari kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, beberapa kawasan di Hilir Perak turut mengalami banjir sebelum air surut dan tiada pemindahan mangsa dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 7:50 AM