AHLI keluarga menyiram air mawar ke pusara Allahyarham, semalam.
AHLI keluarga menyiram air mawar ke pusara Allahyarham, semalam.

Kuala Lumpur: “Jaga solat, perbanyakkan doa dan teruskan legasi menyampaikan kuliah agama.” Itu pesanan Allahyarham Ustaz Ishak Din kepada anak bongsu lelakinya, Bahrurrazi Ishak, 37.

Ustaz Ishak Din yang juga abang kepada Allahyarham Datuk Dr Haron Din kembali ke rahmatullah jam 6.05 petang kelmarin di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, selepas menerima rawatan sejak Jumaat lalu.

Bahrurrazi berkata, meskipun dia bukanlah penceramah bebas namun pesanan Allahyarham supaya teruskan berdakwah melalui majlis ilmu tetap dilaksanakan.

“Saya bukan ustaz, bukan penceramah, tetapi saya pernah menggantikan beberapa slot ceramah yang dianjurkan Allahyarham di rumah kami dan saya akan teruskan usaha menyampaikan ilmu seperti yang dipesan.

“Kami adik-beradik berbincang, mungkin akan bergilir-gilir mengetuai kuliah di rumah kerana tujuan Allahyarham membeli rumah itu pun untuk mengajar dan menyampaikan ilmu,” katanya selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, di sini, semalam.

Menurut Bahrurrazi, Allahyarham yang berusia 78 tahun adalah seorang yang tegas dan menepati masa serta pemergiannya satu kehilangan yang besar buat keluarga.

“Dia (Allahyarham) pergi dengan tenang di pangkuan keluarga selepas kami diminta pihak IJN untuk berkumpul sejak jam 3.30 petang lagi.

“Kami sudah menjangkakan sesuatu namun tidak henti mendoakan arwah termasuk anak sulung Allahyarham Datuk Dr Haron yang mendoakannya dari jauh selepas tidak sempat pulang dari luar negara,” katanya.

Majlis pengebumian diadakan pada jam 10.20 pagi semalam dihadiri lebih 100 orang yang menziarahi termasuk sanak saudara, anak didik serta rakan Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan isteri, Maimunah Nopiah, 70, dan lima anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:27 AM