MOHD Damiri (kanan) menunjukkan lokasi teksinya yang diletakkan di kawasan berkenaan.
MOHD Damiri (kanan) menunjukkan lokasi teksinya yang diletakkan di kawasan berkenaan.

Puchong: “Saya sempat merasa gegaran kuat persis gempa bumi ketika kejadian tebing runtuh itu berlaku,” kata salah seorang penduduk blok pangsapuri Taman Puncak Kinrara, Mohd Damiri Samian, 54.

Dalam kejadian jam 4.15 petang semalam, tebing blok pangsapuri sepanjang hampir 100 meter itu runtuh mendadak.

Ketika kejadian, Mohd Damiri bersama empat anaknya berada di dalam rumah mereka di tingkat satu kediaman sebelum dikejutkan dengan kejadian itu.

“Saya berada di dapur mencuci pinggan, manakala anak-anak berada di ruang tamu menonton televisyen.

“Tiba-tiba saya berasa gegaran kuat sebelum bergegas membawa anak-anak keluar dari rumah sebelum menyiasat punca kejadian,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu teksi terkejut apabila melihat tebing blok pangsapuri berkenaan runtuh ke arah parkir berhampiran.

“Runtuhan itu menyebabkan kerosakan di bahagian hadapan teksi saya yang diletakkan tidak jauh dari tebing berkenaan.

“Saya kemudian memaklumkan ahli jawatankuasa persatuan penduduk sebelum mengarahkan penghuni lain berkumpul di kawasan letak kereta sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Susulan kejadian itu lebih 200 penghuni pangsapuri itu diminta mengosongkan kediaman sebagai langkah keselamatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Mohd Hisham Mat Yasih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang sebelum mengerahkan 12 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian dengan dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serdang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:03 AM