MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbahas pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-13, semalam.
MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbahas pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-13, semalam.
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Kerajaan Selangor tidak akan membenarkan kegiatan sewa atas sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu oleh segelintir pihak.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan sedemikian tidak adil kepada individu yang menjadi penyewa kedua kerana bayaran dikenakan dipercayai melebihi kadar sewa sepatutnya.

“Kerajaan negeri bertegas tidak membenarkan sewa atas sewa kerana mungkin ada di antara mereka menyewa dengan kadar lebih tinggi.

“Jika mahu tinggal di kawasan tertentu seperti di Kota Damansara atau di PPR itu, kerajaan negeri akan carikan kawasan lain contohnya di Lembah Subang, tetapi mereka mesti memohon dan kita akan pertimbangkan namun dengan skim seperti rumah sewa melalui peruntukan RM100 mungkin menjadikan ia lebih mudah,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, semalam.

Iskandar (PAS-Chempaka) berkata, kerajaan negeri perlu bersikap telus dan adil kerana ada di antara pemohon rumah PPR dalam senarai menunggu permohonan yang belum mendapat rumah sewa.

Ketika menjawab pertanyaan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) Iskandar berkata, 100 penghuni di PPR Seksyen 8 Kota Damansara sudah menerima notis keluar kerana hasil pemeriksaan mendapati mereka terbabit dengan sewa atas sewa.

“Kerajaan negeri perlu berlaku adil kerana ada senarai menunggu di mana kumpulan ini memohon dan menunggu dalam tempoh lama.

“Kalau mereka (penyewa kedua) nak sewa, kena ikut prosedur dengan memohon kemudian tunggu ikut giliran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 9:44 AM