MEGAT (dua dari kanan) melakukan pemantauan ketika Op ZTP di Bandar Puteri, Puchong.
MEGAT (dua dari kanan) melakukan pemantauan ketika Op ZTP di Bandar Puteri, Puchong.
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Lapan penagih lalok yang sedang menunggang motosikal antara penjenayah ditahan dalam Operasi Zero Tolerance Policing (Op ZTP) dijalankan polis di sekitar daerah ini.

Turut ditahan seorang penagih dadah berusia 37 tahun yang membawa bungkusan berisi syabu di dalam poket seluarnya.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, lelaki itu yang menunggang motosikal ditahan dalam operasi dijalankan di Plaza Tol Lebuhraya Besraya, di sini, semalam.

“Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lelaki itu mendapati dia positif menagih syabu.

“Kami turut menahan tujuh individu lain yang gagal ujian saringan air kencing selepas didapati positif dadah jenis ganja, heroin dan methamphetamine,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan operasi itu di Bandar Puteri, Puchong, di sini, semalam.

Sementara itu Op Warta turut dijalankan di beberapa lokasi seperti Jalan Kenari, Bandar Puteri, Puchong, Plaza Tol Besraya, Equine Park, Jalan Sungai Besi Indah dan Jalan Putra Permai, di sini.

Sepanjang tempoh operasi sejak Khamis lalu, sebanyak 1,674 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dikenal pasti polis.

“Antara kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya adalah tidak memiliki lesen memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, cukai jalan tamat tempoh, menggunakan telefon bimbit dan lampu silau.

“Operasi dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu turut menunda enam kenderaan di Jalan Kenari dan Bandar Puteri, Puchong atas kesalahan menghalang lalu lintas,” katanya.

Katanya, operasi itu akan dijalankan secara konsisten sebagai usaha untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya dan jenayah di daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 8:52 AM