ROSNAH  bersama  Nurul Shuhada dan abangnya di Sabak Bernam.
ROSNAH bersama Nurul Shuhada dan abangnya di Sabak Bernam.
Fuad Hadinata Yaacob

Sabak Bernam: Setiap petang kanak-kanak istimewa, Nurul Shuhada Abdullah, tujuh tahun, hanya mampu menolak kerusi rodanya ke luar rumah.

Hajat di hati dia mahu bermain bersama dua abang dan kanak-kanak lain yang gembira berlari ke sana sini serta menaiki basikal.

Namun tidak seperti mereka, Nurul Shuhada hanya mampu melihat dan duduk di kerusi roda berikutan kedua-dua kakinya kecil dengan salah satunya berlipat menyebabkannya tidak boleh berdiri.

Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak comel itu tidak boleh berjalan sebaliknya hanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak terutama di luar rumah.

Nurul Shuhada disahkan menghidap penyakit ‘lumbosacral agenesis’, ‘anocutaneous fistula’, dan ‘ambiguous genital’ menyebabkan bahagian dari paras pinggang ke bawah tidak membesar.

Bagaimanapun dia boleh mengesot menggunakan tangan untuk bergerak seterusnya melakukan aktiviti seharian seperti makan, minum, menukar pakaian dan mandi.

Namun pada masa sama anak bongsu daripada tiga beradik itu perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa berikutan dia menghadapi masalah buang air kecil tidak terkawal.

Ketika ditemui di Taman Air Manis dekat sini, Nurul Shuhada seronok ketika bersiar-siar bersama neneknya, Rosnah Osman, 54, yang setia menemaninya sepanjang masa.

Setiap petang itulah rutin harian mereka apabila Nurul Shuhada bersiar-siar di depan rumah dan taman permainan berhampiran rumah sambil ditemani Rosnah.

Rosnah berkata, itulah yang mampu dilakukannya setiap petang untuk menggembirakan cucunya itu.

Menurutnya, ibu Nurul Shuhada, Siti Raudah, 31, yang juga anak sulungnya meninggal dunia dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan sejak itu tiga beradik berkenaan di bawah jagaannya.

Lebih menyedihkan katanya, bapa kepada tiga cucunya itu tidak dapat dikesan sejak Siti Raudah meninggal dunia menyebabkan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa dipikulnya bersama suami, Masarini Karim, 58.

“Sejak bapa mereka menghilangkan diri dan ibunya meninggal dunia dua tahun lalu kami menjaga dan membesarkan mereka.

“Bagaimanapun kami bersyukur kerana mereka mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Abang sulung Nurul Shuhada, Mohd Hanafi, 12, dan adik keduanya, Mohd Asyraf, 10, menerima bantuan RM100 setiap seorang manakala Nurul Shuhada menerima RM300 sebulan.

Selain itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut memberi bantuan dengan membayar sewa rumah yang diduduki mereka RM250 sebulan.

Rosnah berkata, selain mendapat bantuan JKM, suaminya yang bekerja sebagai pengupas kelapa memperolehi pendapatan kira-kira RM20 untuk setiap kali bekerja selain anak bongsunya, Nizam, 26, bekerja di kedai ais dengan pendapatan RM900 sebulan turut membantu.

Sementara itu, Nurul Shuhada ketika ditemui tidak banyak bercakap walaupun dia sebenarnya peramah.

Begitupun ketika ditanya cita-citanya, murid Sekolah Kebangsaan Tun Dr Ismail itu menyatakan mahu menjadi polis satu hari nanti.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 10123-29-00017122-3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 10:03 AM