BAYI tiga bulan dipercayai ditinggalkan ibu kandung selepas dilahirkan di hospital.
BAYI tiga bulan dipercayai ditinggalkan ibu kandung selepas dilahirkan di hospital.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan (JKM) Shah Alam meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali waris seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di Hospital Shah Alam, Selangor, baru-baru ini untuk tampil bagi membantu pihaknya menjalankan proses dokumentasi.

Pegawai JKM Shah Alam Ruhaizad Ahmad Salikin berkata, bayi berusia tiga bulan itu dipercayai ditinggalkan ibu kandungnya selepas dilahirkan di hospital berkenaan Julai lalu.

Beliau berkata, ibu kandung bayi berkenaan datang ke hospital untuk rawatan susulan sebelum melahirkan anaknya itu namun melarikan diri.

“Bayi berkenaan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

“Namun, ketika usia bayi malang berkenaan mencecah dua minggu, dia ditinggalkan oleh ibu kandungnya yang dipercayai warga asing,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Sehubungan itu, Ruhaizad meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan bayi berkenaan segera tampil untuk membantu pihaknya mengesan waris bagi tindakan lanjut.

“Pada masa ini, bayi berkenaan ditempatkan Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, Perak, sehingga warisnya dapat dikesan.

“Oleh itu, orang ramai boleh menghubungi JKM Shah Alam di talian 03-55100415 atau 03-55102015 jika mempunyai maklumat berkaitan bayi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 9:08 AM