ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer KM51.9, Jalan Johor Bahru-Mersing,  kelmarin.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer KM51.9, Jalan Johor Bahru-Mersing, kelmarin.
Mohd Sabran Md sani dan Ahmad Othman


Kota Tinggi: Seorang pemandu lori bersama kelindannya maut apabila lori yang mereka naiki hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan kenderaan itu dirempuh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer KM51.9, Jalan Johor Bahru-Mersing, petang kelmarin.

Kejadian jam 5 petang berdekatan Kilang Sawit Kim Loong, di sini, mengakibatkan pemandu lori jenis Toyota yang juga kontraktor elektrik, M Velu, 51, dan rakannya, V Thevan, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit pada kenderaan itu.

Kemalangan berkenaan turut mengakibatkan seorang pemandu lori jenis Nissan, Fitri Mohd Shah, 32, yang berasal dari Felda Lok Heng Timur, dekat sini, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berkenaan yang membawa muatan minyak dan alatan selenggara generator hilang kawalan.

“Kenderaan yang dalam perjalanan dari Pasir Panjang Estate Batu 18 menghala pulang ke Kluang itu dikatakan hilang kawalan akibat jalan licin dan masuk ke laluan bertentangan dalam keadaan melintang.

“Pada masa sama, sebuah lori Nissan yang membawa muatan kayu proses tidak sempat mengelak lalu terus merempuh lori berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Rahmat berkata, hasil siasatan, lori Nissan yang dalam perjalanan dari Yong Peng menghala ke kilang kayu di Batu 8, Mawai, merempuh tepi bahagian hadapan lori Toyota lalu terbabas mengheret kenderaan itu ke bahu jalan sebelah kiri.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan kelindan lori Toyota tersepit serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori Nissan mengalami kecederaan ringan, manakala kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

“Tempat kejadian adalah jalan selekoh dua hala dan garisan berkembar di tengah jalan.

“Permukaan jalan basah dan cuaca mendung akibat hujan lebat siang hari pada ketika kejadian berlaku. Kawasan persekitaran adalah kawasan hutan dan terdapat kilang sawit berdekatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan dikendalikan Inspektor Mohd Nur Hazwan Abdul Razak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 9:46 AM