MANGSA ceria selepas diselamatkan anggota penyelamat.
MANGSA ceria selepas diselamatkan anggota penyelamat.
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Sambil menguntumkan senyuman, Andrew James Gaskell sempat merakamkan gambar kenangan bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas ditemui selamat di Kem 1, Taman Negara Mulu, di sini, jam 1 tengah hari, semalam.

Jurutera berasal dari Australia berusia 25 tahun itu terkandas selama 11 hari di taman negara itu sejak 21 Oktober lalu sebelum operasi SAR dijalankan bermula 26 Oktober berikutnya.

Dia ditemui berdekatan sungai yang jaraknya 20 meter dari laluan pendaki ke Gunung Mulu, berhampiran kawasan dikenali sebagai Hidden Valley, Kem 1 taman negara itu dan ia memang kawasan yang terlindung tumbuhan dan batu.

Bapanya, David Andrew Gaskell, 54 , bersama adiknya, Benjamin Keith Gaskell, 24, turut sama menyertai kumpulan SAR ke kawasan itu, malangnya tidak sempat berjumpa Andrew kerana berpatah balik ke Ibu Pejabat Taman Negara Mulu yang terletak lebih kurang lapan kilometer dari kawasan penemuan itu akibat keletihan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, sebaik menerima berita penemuan itu, David dan Benjamin cukup gembira sehingga memeluk semua ahli SAR di ibu pejabat taman negara itu.

“Perasaan gembira bapa dan adik mangsa memang memuncak sehingga semua ahli SAR dipeluk. Ucapan terima kasih memang tidak putus-putus kepada semua ahli SAR.

“Bapanya turut meminta senarai semua ahli SAR untuk rekod peribadi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Law berkata, Andrew ditemui dalam keadaan lemah dan tubuh badannya sudah cengkung akibat kekurangan makanan selepas 11 hari dilaporkan hilang.

“Dia bernasib baik sumber air tidak mempunyai masalah kerana kawasan itu mempunyai banyak tali air. Semangat juangnya yang tinggi juga membolehkan mangsa terus hidup.

“Walaupun dalam keadaan lemah, dia masih mampu memberikan senyuman dan beberapa kali bergambar dengan pasukan SAR yang terbabit,” katanya.

Sebaik selepas ditemui, mangsa diterbangkan menggunakan helikopter bomba ke Lapangan Terbang Miri di sini, sebelum dibawa ke Hospital Miri pada jam 2.57 petang untuk menerima rawatan lanjut.

Sepanjang SAR berlangsung semalam, seramai 64 anggota membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Hutan Sarawak (SFC), kakitangan Taman Negara Mulu dan orang awam terbabit dalam operasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 9:44 AM