BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 65 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan 11 pusat jagaan kanak-kanak dibatalkan pendaftaran kerana gagal mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 sejak Januari hingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak lapan taska dan enam pusat jagaan telah didakwa di mahkamah manakala 11 taska dikenakan tindakan kompaun.

“Kementerian komited dalam soal yang membabitkan nyawa kanak-kanak selain menggesa pengusaha taska untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang memantapkan lagi mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan terhadap taska milik swasta bagi memastikan kualiti asuhan sentiasa terjamin.

Chew berkata, mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga 30 September tahun ini 862 taska telah diaudit di bawah Penilaian Akreditasi Taska 2016.

Katanya, jumlah itu melebihi sasaran dan memberi petunjuk bahawa kementerian sangat serius untuk memastikan kualiti asuhan kanak-kanak di taska berada pada tahap memuaskan.

“Usaha berterusan dan kerjasama bersepadu daripada semua pihak diperlukan bagi memastikan aspek keselamatan, pengasuhan yang sesuai mengikut umur, aktiviti yang sesuai dengan perkembangan spiritual kanak-kanak ini dapat dijayakan,” katanya.

Sementara itu, Chew ketika dihubungi berkata, antara kesalahan dilakukan taska dan pusat jagaan kanak-kanak sehingga dikenakan tindakan terutama dibatalkan pendaftaran termasuk keadaan premis yang berbahaya kepada kanak-kanak serta tidak mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 8:55 AM