Sebahagian pekerja kontrak warga asing yang  melarikan diri dalam serbuan Jabatan Imigresen Kedah di tapak pembinaan di Bandar Darul Aman.
Sebahagian pekerja kontrak warga asing yang melarikan diri dalam serbuan Jabatan Imigresen Kedah di tapak pembinaan di Bandar Darul Aman.

Jitra: Sekumpulan pekerja kontrak yang sedang melakukan kerja di tapak pembinaan di Bandar Darulaman, di sini, bertempiaran lari sehingga sejauh 500 meter ke atas bukit berhampiran selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Kedah, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 9 pagi itu, anggota penguat kuasa Imigresen yang dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), turut mengejar mereka yang cuba melarikan diri dan menahan 18 lelaki warga asing yang berusia antara 17 hingga 45 tahun.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Imigresen negeri Mohd Shahrir Khalil berkata, mereka terdiri daripada rakyat Myanmar, Indonesia dan Bangladesh itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah tinggal di negara ini dan ada yang mempunyai dokumen tamat tempoh.

Beliau berkata, mereka dipercayai menetap di negara ini sejak enam bulan hingga satu tahun lalu tanpa memiliki dokumen pengenalan diri dan bekerja di kawasan itu.

“Namun ketika serbuan dilakukan, ada sebahagian lagi warga asing melarikan diri sehingga 500 meter ke atas bukit berhampiran untuk mengelak dari ditahan.

“Berdasarkan pemeriksaan lanjut di kawasan itu, terdapat beberapa khemah di atas bukit yang dipercayai menjadi tempat untuk mereka bersembunyi dan tidur di situ untuk mengelak dari dicekup,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini, semalam.

Mohd Shahrir berkata, kewujudan tujuh khemah kanvas di atas bukit itu dipercayai untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa dan memantau kehadiran anggotanya ke kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menahan 18 pekerja kontrak warga asing itu untuk tindakan lanjut dan menghantar mereka ke pejabat Imigresen di Anak Bukit, di Alor Setar untuk siasatan.

“Operasi itu membabitkan 25 anggota penguat kuasa Imigresen manakala selebihnya anggota RELA berakhir jam 12 tengahari dan kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat kami di Anak Bukit, Alor Setar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana tidak mempunyai dokumen masuk ke negara ini,” katanya.

Mohd Shahril berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan lanjut dan siasatan sama ada terdapat ramai lagi warga asing yang tidak mempunyai dokumen masuk ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:35 AM