TIGA jet pejuang  milik RAF melintasi ruang udara KLCC, semalam.
TIGA jet pejuang milik RAF melintasi ruang udara KLCC, semalam.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: “Walaupun hanya sempat melihatnya selama kira-kira enam saat, saya tetap gembira kerana dapat merakamkan gambar tiga jet pejuang British itu berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC),” kata Ahmad Yassier Loqman.

Peminat tegar pesawat pejuang berusia 26 tahun itu antara ratusan pengunjung Taman KLCC yang sempat merasai deruman enjin tiga jet pejuang tercanggih milik Tentera Udara Diraja British (RAF) yang melintasi ruang udara pusat pelancongan itu, jam 4 petang semalam.

Tiga jet pejuang Eurofighter Typhoon berkenaan terbang sebagai sebahagian daripada Latihan Bersama Lima 16 iaitu satu latihan tahunan di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang membabitkan Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Menurut Ahmad Yassier, kerana minatnya yang mendalam terhadap pesawat pejuang, dia sanggup datang dari Port Dickson, Negeri Sembilan jam 7.30 pagi walaupun pesawat berkenaan dijadual melintasi KLCC pada jam 3.45 petang.

“Selepas mendapat tahu sahaja berita Typhoon RAF akan berada di KLCC melalui media sosial, saya terus beli tiket komuter kerana tidak mahu melepaskan peluang merakamkan gambar pesawat itu.

“Ini kali kedua saya melihat Typhoon melintasi ruang udara KLCC selepas kali pertama pada 2013,” katanya.

Jurugambar sambilan, R Parameswaran, 26, berkata, kesempatan melihat Typhoon dari dekat terubat walaupun sedikit kecewa apabila sembilan pesawat aerobatik RAF Red Arrows yang sepatutnya turut serta dibatalkan pada saat akhir disebabkan faktor cuaca.

“Saya difahamkan RAF Red Arrows tidak dapat menyertai RAF Typhoon kerana berada di Utaphao, Thailand. Susulan cuaca buruk menghalangnya terbang ke Malaysia.

“Namun begitu, saya masih gembira kerana dapat melihat jet pejuang Typhoon melintasi ruang udara KLCC,” katanya.

Pesawat Typhoon terbang dari RAF Skuadron 1 Lossiemouth dan tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, 4 Oktober lalu.

Latihan Bersama Lima 16 di bawah FPDA itu memberi peluang kepada lima negara untuk meningkatkan integrasi dan saling menunjukkan komitmen kolektif lima negara terbabit terhadap perjanjian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 9:56 AM