KEBAKARAN jam 4  pagi memusnahkan enam premis perniagaan.
KEBAKARAN jam 4 pagi memusnahkan enam premis perniagaan.
Faliq Lajim


Puchong: “Saya hanya menemui syiling 80 sen di sebalik timbunan barangan hangus terbakar tempat saya bekerja,” kata Rini Arsi, 37, semalam.

Dalam kebakaran jam 4 pagi semalam, enam kedai musnah apabila premis perniagaan mereka di Jalan Bangau, Puchong Jaya, di sini, terbakar, namun tiada sesiapa yang cedera.

Menurut Rini yang sudah 15 tahun bekerja di kedai perabot itu, dia sedih kerana mungkin tidak dapat bekerja lagi di situ.

“Saya bekerja di kedai langsir. Ketika kejadian, saya di rumah di Klang, Selangor sebelum dihubungi majikan memaklumkan kejadian.

“Saya buntu kerana saya hanya bekerja sebagai jurujual yang bergantung kepada komisen. Saya mungkin perlu cari kerja lain untuk menyara keluarga,” katanya.

Saksi yang juga pekerja di satu daripada premis terbabit, Md Hassan, 34, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur.

“Saya terjaga apabila terdengar jeritan kebakaran dan terus keluar untuk menyelamatkan diri.

“Sejurus keluar, saya dapati api marak di kedai lain dan saya segera mendapatkan bantuan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Mohd Hisam Mat Yasih berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran daripada orang awam jam 4.08 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

“Tiba di lokasi, kami dapati kebakaran membabitkan enam kedai dengan luas keseluruhan 900 meter persegi.

“Api dapat dikawal sepenuhnya jam 4.38 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 6:32 AM