KEADAAN MPV yang remuk selepas terbabit nahas dengan lori.
KEADAAN MPV yang remuk selepas terbabit nahas dengan lori.
Farah Suhaidah Othman


Gopeng: Seorang wanita warga Indonesia maut manakala enam lagi cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 301.9, Lebuhraya Utara-Selatan di sini, awal pagi semalam.

Turut cedera parah dalam kemalangan itu, lelaki berusia 45 tahun yang memandu MPV jenis Toyota Alphard berkenaan.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, Rosalia Ida, 32, maut ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala enam wanita warga Indonesia berusia 23 hingga 41 tahun dan pemandu MPV itu juga menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, MPV yang dipercayai membawa rombongan sebuah agensi pekerjaan itu dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke utara.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, MPV dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori dan akibat kemalangan itu, semua mangsa cedera parah dan dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut.

“Seorang daripada mangsa berusia 32 tahun meninggal dunia pada jam 11.48 pagi (semalam) ketika menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 6:16 AM