Shariffa Sabrina (dua dari  kiri) melihat plan lokasi pembalakan haram bersama  penduduk kampung di Janda Baik ketika tinjauan bersama media, semalam.
Shariffa Sabrina (dua dari kiri) melihat plan lokasi pembalakan haram bersama penduduk kampung di Janda Baik ketika tinjauan bersama media, semalam.
BERNAMA

Bentung: Kerakusan pihak tertentu menjalankan kegiatan pembalakan tanpa kawalan di Hutan Simpan Kekal Janda Baik sejak lebih 20 tahun lalu, mula membawa mimpi ngeri kepada hampir 2,000 penduduk Kampung Janda Baik.

Kehidupan mereka semakin terjejas apabila lima anak sungai utama termasuk Ulu Sungai Benus, Sungai Kuala Lurau dan Sungai Tampik, yang sebelum ini membekalkan air bersih dan menjadi daya tarikan pelancong, tidak lagi seperti dahulu setelah ‘diperkosa’ atas kepentingan sesetengah pihak.

Sehubungan itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mengambil inisiatif membela nasib penduduk kampung itu dengan mendesak pihak terbabit menghentikan kegiatan itu sebelum keadaan bertambah teruk.

Presidennya Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata walaupun pelbagai pihak menafikan keadaan itu, Peka mempunyai bukti jelas bahawa kegiatan penerokaan hutan semakin serius.

Bagi membuktikan perkara itu, Peka bersama beberapa agensi media meninjau kawasan terbabit dan mendapati penerokaan di hutan itu masih berlaku.

Antaranya adalah laluan baru bagi membolehkan kerja-kerja mengangkut keluar kayu balak dari dalam hutan yang ditemui sebaik sahaja memasuki hampir tiga kilometer ke hutan kawasan berkenaan dengan kenderaan pacuan empat roda.

Namun, pihak terbabit yang menyedari kehadiran Peka bersama media bertindak menghalang laluan yang dibuka dengan meletakkan jentera di tengah-tengah laluan itu.

Shariffa Sabrina menyifatkan tindakan itu sebagai melampau kerana bukan sahaja merosakkan alam sekitar, malah menjejaskan punca rezeki penduduk setempat yang mengusahakan chalet.

“Ini adalah hutan simpan kekal. Janda Baik adalah kawasan ekopelancongan namun, ia kehilangan sumber alam seperti sungai termasuk flora dan fauna.

“Saya rasa ini tidak adil kepada penduduk yang telah melabur wang ringgit untuk mengusahakan chalet. Mereka kecewa dan mereka kini bersuara untuk menghentikan pembalakan ini kerana sudah melampau,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan di kawasan terbabit namun kerjasama penduduk setempat diperlukan bagi memastikan pihak bertanggungjawab menghentikan kegiatan pembalakan itu.

“Ini masanya penduduk ambil tindakan sendiri kerana terdesak, Peka akan sentiasa bagi sokongan demi kebajikan penduduk dan alam sekitar sebelum kita hilang sumber berharga ini,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk kawasan itu Mat Sabri Ahmad Malek, 58, berkata kegiatan itu tidak hanya menjejaskan pendapatan penduduk malah menyebabkan beberapa masalah lain antaranya banjir lumpur, air sungai menjadi cetek dan ikan semakin berkurangan.

“Kami tidak sanggup lagi berhadapan dengan situasi ini. Kami dengan bantuan Peka akan memasang penghalang serta-merta demi kebaikan semua,” katanya yang pernah mengusahakan ternakan ikan air tawar.

Jefri Jais, yang mewakili pemandu pelancong di kawasan itu, juga melahirkan kekecewaan apabila penurunan jumlah pelancong amat ketara di kawasan ekopelancongan itu.

Beliau mendakwa kunjungan pelancong ke kawasan itu merosot kira-kira 50 peratus kerana ramai yang menyedari kemusnahan flora dan faunanya. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 8:49 AM