DR Rahamat (dua dari kiri) bersama Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail (kiri) beramah mesra dengan Pegawai Sekretariat SL1M di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
DR Rahamat (dua dari kiri) bersama Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail (kiri) beramah mesra dengan Pegawai Sekretariat SL1M di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Pelbagai siri temu duga dilaluinya selepas tamat pengajian di universiti, namun terpaksa akur permohonan kerja ditolak dengan alasan tiada pengalaman.

Itu kisah pahit dikongsi lepasan Ijazah Pengurusan Pejabat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhammad Mahfudz Mohammad Yusuf, 24, yang terpaksa bergelut untuk mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian sekitar dua tahun lalu.

Mengakui sukar untuk mendapatkan pekerjaan ketika itu, Muhammad Mahfudz kini sudah mampu tersenyum dan bersyukur kerana keputusannya menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di TH Plantations Bhd (TH Plantations) membantu merubah masa depannya.

Lepasan graduan berasal dari Alor Setar, Kedah itu kini sudah boleh mencorak masa depannya apabila ditawarkan jawatan tetap sebagai Eksekutif (Insurans) di TH Plantations sejak Oktober tahun lalu selepas enam bulan menjalani SL1M di anak syarikat penuh Tabung Haji (TH) itu.

Muhammad Mahfudz berkata, dia ditempatkan di Unit Insurans, Bahagian Ladang dan Pentadbiran sepanjang skim latihan itu langsung tidak mempunyai ilmu mengenai insurans.

Beliau berkata, biarpun tidak mempunyai asas dalam bidang insurans, namun menganggap ia sebagai satu cabaran.

“Saya terpaksa mempelajari ilmu insurans sepanjang tempoh latihan itu dan berjaya menguasainya dalam masa singkat.

“Saya juga meraih pengalaman pekerjaan yang sebenar dalam tempoh latihan itu di mana saya diarahkan untuk membincangkan kontrak perlindungan insurans bagi 8,000 kakitangan dan ahli keluarga TH Plantations,” katanya ketika ditemui.

Katanya, dia berjaya menyelesaikan kontrak insurans berkenaan biarpun ketika itu hanya bergelar pelatih SL1M.

Muhammad Mahfudz berterima kasih kepada SL1M kerana membantu menyediakan dirinya sebagai seorang pekerja yang berkeyakinan tinggi dan kreatif dalam membuat keputusan.

“SL1M membantu menyediakan pelatih untuk berdepan dengan pekerjaan selain membantu graduan menganggur meningkatkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja, seterusnya meningkatkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, B Basker, 34, berterima kasih kepada SL1M kerana peluang latihan yang diberikan membolehkannya mendapat pekerjaan yang lebih baik.

Menurutnya, sebelum ini, dia bekerja sebagai juruteknik di beberapa kilang sebelum diberhentikan kerana kilangnya terpaksa ditutup.

“Saya menganggur selama enam tahun sebelum membuat keputusan menyertai SL1M di Telekom Malaysia Bhd (TM),” katanya yang kini bertugas sebagai Penolong Pengurus (Teknologi dan Perkongsian) di TM sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 8:26 AM