ANGGOTA JPJ menahan kenderaan yang membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan.
ANGGOTA JPJ menahan kenderaan yang membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Sudah lewat mahu ambil anak pulang dari kelas tambahan. Itu alasan diberikan seorang lelaki berusia 30-an sebaik ditahan pihak berkuasa kerana didapati melanggar lampu merah dan membuat pusingan U di lokasi tidak dibenarkan.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, lelaki itu yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang melakukan operasi di persimpangan lampu isyarat Sri Gombak ke Taman Bolton, Batu Caves, di sini.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ WPKL, Datuk Norhadzli Mohd Azhar berkata, sebanyak 88 notis saman dikeluarkan kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal menerusi operasi yang dijalankan selama dua jam bermula jam 4 petang itu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 40 pemandu kereta dan 15 penunggang motosikal diberikan notis saman selepas didapati membuat pusingan U di lokasi yang tidak dibenarkan.

“Malah seramai 14 daripada mereka turut dikesan melanggar lampu merah ketika membuat pusing U di kawasan berkenaan, selain kesalahan tiada lesen (8 kes), memotong barisan (10 kes) dan membawa muatan melebihi had (1 kes),” katanya kepada Wartawan Harian Metro ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 6:12 AM