ZAHARI menunjukkan peta Hutan Simpan Balah di Gua Musang.
ZAHARI menunjukkan peta Hutan Simpan Balah di Gua Musang.
Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Dua projek pembalakan di Hutan Simpan Balah dekat Pos Gob, Gua Musang diarah menghentikan operasi buat sementara waktu bagi meredakan kontroversi yang melanda sejak seminggu lalu.

Keputusan itu dibuat Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim selepas mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, pihaknya juga mahu polis menyelesaikan kes berkenaan memandangkan lima laporan sudah dibuat pelbagai pihak berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Zahari berkata, dua projek masing-masing membabitkan dua syarikat dengan keluasan 404 hektar dan 239 hektar akan diteruskan semula selepas masalah berkenaan diselesaikan.

“Ketika ini kita memikirkan cara untuk mengeluarkan hasil balak yang sudah ditebang bagi mengelak kerugian lebih besar ditanggung jika balak terbabit reput selain keutamaan membawa keluar 130 pekerja yang terkandas di lokasi berkenaan sejak Rabu lalu.

“Sudah tentu penangguhan projek berkenaan menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan negeri dan syarikat pembalak, tetapi kita tidak mahu masalah ini semakin berlarutan, jadi kita ambil keputusan supaya menangguhkannya buat sementara waktu.

“Selepas ini, kita akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar bagi mendengar pandangan mereka sebelum pendekatan baru dapat diambil,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Zahari berkata, tidak timbul isu tanah adat seperti yang didakwa penduduk Orang Asli berikutan perkataan itu tidak digunapakai ke atas lokasi yang menjadi hutan simpan.

“Orang Asli kini meminta kerajaan negeri mewartakan seluruh kawasan Hutan Simpan Balah seluas 19,720 hektar termasuk sebahagian konsesi Kompleks Perkayuan Kelantan dan Hutan Simpan Kekal sebagai tanah adat mereka.

“Sedangkan kita dalam usaha mewartakan kawasan seluas 937 hektar di Pos Gob sebagai tanah rizab Orang Asli dan tanda menghormati mereka walaupun tanah berkenaan berstatus hutan simpan.

“Malah, tiada juga sebarang kegiatan pembalakan di kawasan mereka sebagaimana didakwa dan tidak berlaku pencemaran air yang berbahaya hasil pemeriksaan yang dilakukan kami,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap masalah berkenaan.

Katanya, apa yang dilakukan syarikat pembalak tidak menyalahi undang-undang sebagaimana didakwa, sebaliknya ia mengikut prosedur yang ditetapkan dan mereka berlesen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 6:41 AM