Abdul Latif  disambut  pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi.
Abdul Latif disambut pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi.
Aizat Sharif

Kangar: Atlet paralimpik sensasi negara Abdul Latif Romly mengakui kehidupannya jauh berubah selepas kemenangannya merangkul pingat emas dalam acara lompat jauh kategori T20 (masalah pembelajaran) di Sukan Paralimpik Rio, Brazil.

Anak kelahiran Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri, Perlis itu terharu dengan penghargaan diberikan seluruh lapisan masyarakat di negara ini terhadap kejayaan cemerlang diraihnya dalam pentas sukan berprestij itu.

Menurutnya, dia tidak pernah menjangka kehidupannya berubah selepas meraih kemenangan itu kerana selama ini dia tidak pernah menerima sebarang penghargaan seperti itu daripada masyarakat.

“Bakat saya kini diiktiraf semua pihak termasuk mengabadikan nama menerusi penjenamaan semula bangunan atau tempat seperti Rumah Kanak-Kanak Arau yang kini menjadi Rumah Kanak-Kanak Abdul Latif Romly.

“Jika dulu tidak ramai yang nampak atau sedar akan kebolehan atlet paralimpik tetapi kini semakin ramai membuka mata terhadap sumbangan atlet paralimpik dan saya terharu dengan penghargaan diberikan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Mini Astaka Abdul Latif Romly di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis Azman Ghazali, Pengetua SMK Syed Alwi Kaman Halit, bekas Pengetua SMK Syed Alwi Selmiah Hassin, bekas Penolong Kanan Kokurikulum SMK Syed Alwi, Halijah Hashim dan ibu Abdul Latif, Salmah Yatim.

Pada majlis berkenaan, Abdul Latif turut merasmikan pembinaan astaka mini di sekolah berkenaan yang diberi nama ‘Pavilion Abdul Latif Romly’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 10:07 AM