ANGGOTA polis membantu golongan OKU  melintas jalan pada perhimpunan aman mohon  sediakan kemudahan untuk golongan OKU di Mid Valley, semalam.
ANGGOTA polis membantu golongan OKU melintas jalan pada perhimpunan aman mohon sediakan kemudahan untuk golongan OKU di Mid Valley, semalam.
Siti Farahiyah Aziz

Kuala Lumpur: Seramai 50 orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda menyatakan bantahan terhadap ketidakpekaan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sebuah pusat beli-belah dan syarikat perkhidmatan awam dalam menyediakan kemudahan khas yang mencukupi bagi mereka.

Presiden Persatuan Damai OKU Malaysia V Murugeswaran berkata, pengguna OKU terutama yang berkerusi roda terpaksa melintasi jalan utama antara stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) ke pusat beli-belah Mid Valley dengan meminta bantuan orang ramai.

“Keadaan ini sangat berisiko dan membahayakan nyawa bukan saja kami tetapi pengguna lain yang menggunakan laluan itu pada waktu puncak.

“Pihak pengurusan sepatutnya lebih peka dengan keperluan kami kerana dengan keadaan terbatas ini menyukarkan kami untuk menyeberang jalan akibat sesetengah pemandu yang tidak memberi laluan,” katanya ketika ditemui pada Demonstrasi Laluan Khas OKU di Pusat Beli-Belah Mid Valley, semalam.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan golongan OKU berkerusi roda sukar untuk bergerak sendiri dan terpaksa meminta bantuan individu lain.

“Bukan saja sukar melintas dari Stesen KTM Mid Valley tetapi jarak antara gerabak dan platform juga sebenarnya berisiko sekiranya roda tersangkut di antara ruang itu.

“Sehingga kini, masih banyak lokasi sekitar ibu negara yang tidak menyediakan kemudahan lengkap bagi golongan OKU dan berharap supaya pihak berkuasa mampu menyediakan laluan khas atau lif yang boleh memudahkan pergerakan kami,” katanya.

Sementara itu, OKU yang sentiasa menggunakan pengangkutan awam Maha Bee Sulaiman, 50, berkata kesukaran itu membuatkan golongan OKU berkerusi roda susah untuk berdikari dan terpaksa menyusahkan orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 8:45 AM