FAHMI (baring) ketika demonstrasi cara-cara menguruskan jenazah pada Kursus Pengurusan Jenazah di Bukit Merah, semalam.
FAHMI (baring) ketika demonstrasi cara-cara menguruskan jenazah pada Kursus Pengurusan Jenazah di Bukit Merah, semalam.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: “Saat kain kapan membaluti tubuh, saya kaku dan pandangan menjadi gelap gelita, sekali gus timbul rasa keinsafan,” kata Fahmi Abdullah, 55.

Fahmi berkongsi perasaannya apabila menjadi ‘model jenazah’ ketika mengikuti Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Biro Agama UMNO Bahagian Bagan Serai, di Surau Al-Hidayah, Pusat Pemindahan Masyarakat Setempat (PPMS) Batu 6, Bukit Merah, semalam.

Menurut Fahmi, dia secara rela hati menjadi model berkenaan berikutan mahu merasai sendiri pengalaman itu.

“Saat dibaringkan hinggalah dikapankan, jantung saya berdegup kencang dan tertanya-tanya betulkah tindakan yang dilakukan.

“Apabila kain kafan menutupi keseluruhan badan ditambah pandangan menjadi gelap, tiba-tiba saya rasa seperti mahu menangis dan terbayang amalan dunia serta kehidupan di alam kubur.

“Biarpun hati memberontak mahu menjerit dan melepaskan diri, saya tetap bertahan berikutan mahu merasai sendiri pengalaman itu,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.

Fahmi berkata, pengalaman dikafankan dan mengikuti kursus berkenaan sedikit sebanyak menginsafkan dirinya serta mengingati kematian.

Katanya, setiap yang hidup pasti akan menempuhi hari kematian, justeru, persiapan rapi dari sudut rohani dan fizikal perlu dititikberatkan, apatah lagi mengingati mati amat dituntut dalam Islam.

“Bermula daripada cara mandikan jenazah, dikapankan dan akhirnya disembahyangkan, semua detik ini dilalui dengan penuh debaran.

“Bau semerbak air mawar dan kapur barus yang menusuk ke rongga hidung semakin membuatkan saya gementar dan gelisah.

“Saya akui perasaan ketika itu amat berbeza dan menakutkan sehingga satu ketika saya menitiskan air mata serta memohon keampunan Allah S.W.T akan dosa lampau,” katanya.

Fahmi berkata, kursus pengurusan jenazah itu adalah satu program dalam Membara Kampungku Berselawat peringkat Parlimen Bagan Serai.

Menurutnya, selain kursus pengurusan jenazah, sepanjang hari, penduduk didedahkan dengan aktiviti keagamaan seperti pertandingan azan, ceramah agama, berselawat dan program ilmuan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 6:25 AM