ANTARA peserta yang menghadiri Klinik Berhenti Merokok, Jabatan Farmasi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM.
ANTARA peserta yang menghadiri Klinik Berhenti Merokok, Jabatan Farmasi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM.
Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur: “Disebabkan saya kuat merokok, seorang daripada anak kembar saya nyaris maut kerana dilahirkan akibat masalah paru-paru, tetapi Allah Maha Kuasa kerana umurnya masih panjang.

“Dugaan yang Allah beri itu betul-betul menyedarkan saya supaya berhenti merokok kerana kesan rokok bukan setakat pada diri kita tetapi orang tersayang,” kata pembekal plastik Mohd Noor Mahmud, 69, dari Cheras.

Mohd Noor adalah antara 16 peserta Klinik Berhenti Merokok, Jabatan Farmasi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berjaya meninggalkan ketagihan merokok.

Menurut Mohd Noor, dia adalah perokok tegar dan boleh menghabiskan 20 batang rokok sehari disebabkan ketagihan terlampau terhadap bahan tembakau itu.

“Sebenarnya sudah lama saya mahu berhenti dari merokok iaitu sekitar 1970-an lagi, tetapi tidak berhasil sehingga percubaan kali kelima kira-kira tiga tahun lalu.

“Selepas berhenti merokok, saya dapat rasa banyak perubahan baik berlaku, pertamanya anak kembar saya yang sakit semakin sihat walau masih lagi bergantung kepada gas, saya juga tidak lagi sakit dada,” katanya.

Bercerita lanjut, Mohd Noor berkata, dia mula merokok pada usia 11 tahun dan pada waktu itu tiada siapa menghalangnya termasuk orang tuanya.

“Saya sekolah setakat darjah empat, bila masuk umur 11 tahun saya sudah bekerja di ladang getah.

“Sejak menorehlah saya merokok, pada awalnya bertujuan untuk halau nyamuk, tetapi lama-kelamaan ia jadi ketagih. Setiap masa rokok kena ada dengan saya.

“Sedar dari tidur, rokok yang dicapai dulu. Pernah saya terjaga pada jam 3 pagi dan ke kedai untuk mencari rokok kerana stok rokok habis,” katanya.

Pengalaman sama turut dikongsi Mohd Husni Ghazali, 30, yang mendakwa merokok sejak dari usia remaja iaitu pada umur 14 tahun berikutan keinginan hati muda yang mahu mencuba sesuatu yang baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 7:09 AM