MODEL perumahan yang dipamerkan pada majlis pecah tanah pembangunan Projek Perumahan LTAT/PPA1M, Taman LTAT, Bukit Jalil.
MODEL perumahan yang dipamerkan pada majlis pecah tanah pembangunan Projek Perumahan LTAT/PPA1M, Taman LTAT, Bukit Jalil.

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya mereka dapat menyediakan tanah bagi membina lebih banyak rumah mampu milik untuk anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya akan turut bekerjasama dengan agensi berkaitan dan syarikat korporat bagi merealisasikan hasrat supaya setiap anggota dan veteran ATM mempunyai kediaman sendiri.

Katanya, buat permulaan, kementeriannya menerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan membina 303 rumah mampu milik untuk veteran ATM di Segari, Perak dengan kerjasama kerajaan negeri itu, hujung tahun ini.

“Kalau harga tanah itu murah, maknanya kita boleh bina lagi banyak (rumah).

“Contohnya di Kuala Lumpur ini, mana hendak cari harga rumah seperti ini. Sebab itu kita ada subsidi RM46,750 dan pembeli hanya bayar RM199,750 seunit,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Projek Perumahan LTAT di Taman LTAT Bukit Jalil, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum, Pengerusi LTAT Tan Sri Anwar Mohd Nor, Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Udara Tan Sri Roslan Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 6:52 AM