CHEW  pada majlis pelancaran Seminar Keselamatan Kanak-kanak 2016, semalam.
CHEW pada majlis pelancaran Seminar Keselamatan Kanak-kanak 2016, semalam.

Kuala Lumpur: Semua pihak diminta menggunakan saluran yang betul dalam menyalurkan maklumat berhubung kes penderaan kanak-kanak supaya ia tidak disebarkan dengan sewenang-wenangnya sekali gus mengelakkan tekanan terhadap mangsa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, setakat ini didapati masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat yang cenderung menyebarkan maklumat terbabit termasuk menerusi media sedangkan ia sepatutnya disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kami dapati ada pihak membuat laporan mengenai kes penderaan kanak-kanak dengan cara yang tidak betul. Mereka membawa media untuk melaporkan kes berkenaan dan ini memberi tekanan kepada mangsa.

“Saya ingin menyeru kepada mereka supaya buat laporan dengan JKM dan jangan terus menyebarkannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kanak-kanak ‘Always Beware and Be Aware 2016’ di Institut Sosial Malaysia, di sini, semalam.

Seminar bertemakan Keselamatan Kanak-kanak Dicakna, Kesejahteraan Keluarga Terlaksana itu memfokuskan mengenai jenayah siber disertai pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada sukarelawan, belia, pemimpin masyarakat serta ahli badan bukan kerajaan (NGO).

Chew berkata, kementerian memandang serius terhadap kes jenayah siber membabitkan kanak-kanak khususnya kegiatan pedofilia yang menggunakan aplikasi WeChat seperti dilaporkan media sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 6:39 AM