PASUKAN HAZMAT melakukan pemeriksaan pada  tangki gas pukal.
PASUKAN HAZMAT melakukan pemeriksaan pada tangki gas pukal.

Johor Bahru: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor mengesahkan tidak berlaku sebarang kebocoran pada tangki gas pukal di perairan Sungai Ayam berhampiran jeti feri Minyak Beku, Batu Pahat, dekat sini, Sabtu lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Johor Mohd Rizal Buang berkata, perkara itu disahkan susulan pemeriksaan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) sejurus menerima panggilan jam 10.30 pagi.

“Seramai 10 anggota HAZMAT menjalankan pemeriksaan dan mengangkat tangki gas di perairan berkenaan namun tiada sebarang kebocoran dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, tangki gas itu ditemui sekumpulan nelayan terdampar di perairan Sungai Ayam, Minyak Beku, Batu Pahat.

“Ia dilaporkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.

“Berikutan itu APMM memaklumkan kejadian kepada Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JBPM,” katanya.

Menurutnya, tangki gas itu dipindahkan ke kapal Jabatan Laut dan hasil pemeriksaan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran.

“Difahamkan tangki gas itu dibawa kapal dalam perjalanan dari Port Klang menuju Indonesia.

“Ketika dalam perjalanan berlaku ribut kuat menyebabkan tangki berkenaan jatuh ke laut,” katanya.

Mohd Rizal berkata, ketika ini dua daripada tiga tangki ditemui termasuk satu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 7:21 AM