KEDUA-DUA tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen, semalam.
KEDUA-DUA tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen, semalam.
myMetro

Kota Kinabalu: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan menerima rasuah RM7,000 berhubung pinjaman Bank Rakyat seorang lelaki, minggu lalu.

Tertuduh Muhammad Safwan Isnen, 27, dan Azzry Eyzzhamshah Mohd Arifin, 27, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manaf Said.

Berdasarkan pertuduhan, Safwan dan Azzry didakwa secara rasuah memperoleh suapan dari pengadu bagi meluluskan pinjaman Bank Rakyat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Starbucks Coffee One Borneo Hypermall, pada jam 10.13 malam, 6 September lalu.

Daripada jumlah itu, RM3,000 sebagai bayaran balik kepada Azzry kerana membantu melunaskan hutang kad kredit pengadu berjumlah RM2,776.25 manakala bakinya sebagai upah menguruskan permohonan pinjaman Bank Rakyat pengadu.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menerima rasuah yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rozana Abdul Hadi menawarkan jaminan RM50,000 kepada setiap tertuduh dengan dua penjamin.

Hakim menetapkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan bayaran deposit RM5,000, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 14 November depan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh Mohd Azif Ahmad, 25, dibebaskan tanpa syarat selepas pihak pendakwaan mendapatinya tidak terbabit dengan kes rasuah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:09 AM