PROJEK kemanusiaan beri penekanan pembangunan infrastruktur.
PROJEK kemanusiaan beri penekanan pembangunan infrastruktur.
MUHAMMAD Nadir (tengah) giat menyertai program kemanusiaan membantu penduduk Semenanjung Gaza.
MUHAMMAD Nadir (tengah) giat menyertai program kemanusiaan membantu penduduk Semenanjung Gaza.
NADIR bersama penduduk Palestin yang menerima bantuan.
NADIR bersama penduduk Palestin yang menerima bantuan.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Dia pelajar tunggal rakyat tempatan di Semenanjung Gaza namun lelaki itu bukan sekadar pelajar biasa, malah bertanggungjawab menyediakan keperluan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hasil ideanya sendiri.

Nama Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM) bukan asing buat rakyat Gaza, malah ia cukup dekat buat mereka dan langsung mengharumkan nama Malaysia di negara yang dihimpit kekejaman Zionis.

Bagi Pengasasnya, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman, segala usaha kebajikannya dilakukan atas rasa tanggungjawab sesama saudara Islam yang dihimpit kesusahan.

“Kerja kebajikan bersama NGO ini memang dekat dengan saya malah sejak bergelar mahasiswa di universiti, saya sering terbabit dengan kerja bakti seumpama ini dan kini mempraktikkan di negara orang.

“Saya tidak pernah terlintas inisiatif penubuhan NGO ini akan memberi kesan positif kepada Malaysia kerana apa yang dilakukan hanya membantu saudara Islam lain di Semenanjung Gaza,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Muhammad Nadir Al-Nuri yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Marin di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum menyambung pengajiannya untuk ijazah kedua di Universiti Islam Gaza dalam bidang Syariah sudah tinggal di wilayah berkenaan sejak 2013.

Beliau yang berusia 29 tahun adalah pelajar tunggal Malaysia yang menuntut di Semenanjung Gaza biarpun berdepan situasi tidak terjamin termasuk ancaman keselamatan daripada serangan rejim Zionis.

Sejak kewujudan PCGM, katanya, banyak masa dan fokus diberikan untuk membantu rakyat Gaza sama ada aspek pembangunan pembelajaran atau penyediaan logistik seperti kemudahan air dan alat janaan elektrik.

“Pelbagai aktiviti pernah dilaksanakan menerusi persatuan saya, antaranya ‘Projek Muhajid Muda’, ‘Projek Rumah Kemanusiaan’ dan pemberian barang keperluan kepada anak-anak Gaza.

“Bantuan dihulurkan tidak terlalu fokus kepada bantuan pakaian dan makanan malah lebih memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur seperti mesin penyulingan air ataupun alat janaan elektrik,” katanya.

Menurutnya, selain negara besar Islam seperti Turki dan Kuwait yang banyak memberi bantuan dana, Malaysia negara yang dekat dengan hati rakyat Semenanjung Gaza kerana ramai aktivis Islam memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

Katanya, rakyat Semenanjung Gaza cukup mengenali Malaysia dan mereka tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kerana banyak kerja bantuan yang dihulurkan.

Ketika ditanya mengapa memilih Semenanjung Gaza berbanding negara lain, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, kemelut melanda Palestin atau Semenanjung Gaza adalah krisis paling lama.

Menurutnya, beberapa negara Islam lain mengalami pergolakan antaranya Syria, namun krisis membelenggu Palestin sejak beberapa dekad lalu dianggap paling lama dalam sejarah.

“Palestin menghadapi krisis paling lama, pembebasan di Palestin memberi petunjuk kepada pembebasan negara Islam lain. Itu prinsip yang saya pegang.

“Rakyat Palestin (Semenanjung Gaza) contoh terbaik jika kita ingin mengambil iktibar keberanian mereka. Biarpun mungkin ada serangan rejim Zionis, ia tidak melunturkan semangat mereka,” katanya.

Beliau berkata, mungkin ada pihak menyangka kehidupan rakyat Gaza dalam ketakutan, namun itu sekadar retorik sedangkan hakikatnya tidak begitu.

“Fakta sebenar mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Seperti mana rakyat di negara yang aman. Ada hari mereka bekerja, ada waktu mereka berehat di rumah.

“Mereka (rakyat Gaza) adalah contoh terbaik jika kita ingin mempelajari keberanian mereka. Serangan itu tidak sedikit pun menjejaskan harapan serta semangat mereka untuk terus hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 8:37 AM