Makkah: Seorang jemaah haji Malaysia tersentuh hati apabila melihat jemaah dari benua Afrika berebut mendapatkan air dan roti percuma selepas solat Isyak di luar Masjid al-Haram, semalam.

Mior Ruselan Mior Hassan, 61, yang juga pembaca Harian Metro berkata, keadaan itu membuatkan dia terfikir bagaimana agaknya keadaan sebenar kehidupan rakyat di negara benua berkenaan.

Pesara guru dari Kuala Kangsar itu berkata: “Saya rakam video keadaan itu. Tersentuh hati saya kerana ada hamba Allah SWT bawa selori roti dan air untuk bersedekah.

“Kebetulan mereka yang berebut-rebut ialah jemaah dari negara Afrika seperti Nigeria, Chad dan Ivory Cost. Kebanyakan jemaah lain ketika itu khususnya dari Malaysia, Turki dan Algeria hanya memandang sahaja gelagat mereka.

“Saya sebenarnya cuba membayangkan bagaimana keadaan orang Islam di negara benua Afrika ini berlandaskan pengamatan saya terhadap apa yang berlaku di luar Masjidil Haram,” katanya.

Menurutnya, video berkenaan dirakam ketika dia dalam perjalanan pulang ke hotel selepas solat Isyak.

Mior Ruselan berkata, suasana itu membuatkan dia bersyukur dengan keadaan di Malaysia, biarpun ada yang mengatakan ekonomi merudum, barang mahal dan pelabur lari.

Katanya, dia kagum dengan jemaah haji dari blok Afrika terbabit yang sanggup berjalan sehingga dua kilometer dari penginapan mereka ke Masjidil Haram.

“Kasihan melihat mereka yang tetap berjalan walaupun waktu tengah hari sedangkan penginapan mereka sungguh jauh berbanding jemaah haji Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 9:51 AM
MIOR Ruselan bergambar bersama jemaah haji dari Nigeria di Masjid Al-Nabawi, Madinah Al-Munawarah.
MIOR Ruselan bergambar bersama jemaah haji dari Nigeria di Masjid Al-Nabawi, Madinah Al-Munawarah.