MOHD Najib (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Pusat Jualan UCAMart di Kolej Univeristi AgroSains Malaysia, semalam.
MOHD Najib (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Pusat Jualan UCAMart di Kolej Univeristi AgroSains Malaysia, semalam.

Alor Gajah: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan peruntukan RM35 juta bagi membantu 500,000 usahawan tani di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Mohd Najib A Samad berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Program Aktiviti Ekonomi Tambahan, Program Aktiviti Keusahawanan dan Tabung Sosio-ekonomi.

Beliau berkata, negara memerlukan lebih ramai usahawan tani bagi mengurangkan kebergantungan import bahan makanan dari luar yang secara keseluruhan berjumlah RM2.7 bilion setahun.

“Setiap tahun, kerajaan belanjakan RM1.5 bilion untuk import buah dan RM1.8 bilion bagi membawa masuk bekalan padi ke negara ini. Berikutan itu RISDA dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara.

“Kami sediakan beberapa geran dan pinjaman membantu usahawan tani khasnya siswazah sebagai galakkan menceburkan diri dalam bidang ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Jualan UCAMart di Kolej Universiti AgroSains Malaysia, (UCAM), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi UCAM Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dan Naib Cancelor UCAM Datuk Faridah Hanam Mohd Rashid.

Mohd Najib berkata, menerusi Program Aktiviti Ekonomi Tambahan melalui Geran Usahawan Siswazah, RISDA membantu 10 graduan UCAM memulakan perniagaan dengan peruntukkan RM10,000 setiap orang pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 10:51 AM