MANGSA maut dalam kemalangan membabitkan enam motosikal.
MANGSA maut dalam kemalangan membabitkan enam motosikal.
Norizuan Shamsuddin


Serdang: Tindakan kumpulan Mat Rempit dipercayai berlumba di jalan raya mengundang padah apabila kenderaan dinaiki bergesel antara satu sama lain di Kilometer 307.8 Lebuh raya Utara-Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, dua remaja lelaki berusia 19 dan 21 tahun maut, manakala tiga rakannya parah selepas enam motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dari arah selatan lebuh raya itu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, kejadian berlaku ketika semua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Kajang.

“Ketika dalam perjalanan, mereka dipercayai berlumba bersama rakan sebelum bergesel sesama sendiri dan terjatuh serta terseret di atas jalan.

“Kejadian menyebabkan dua penunggang daripada mereka maut di tempat kejadian manakala tiga rakannya parah. Manakala yang lain cedera ringan.

“Mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurut Megat, siasatan lanjut mengenai kemalangan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 10:40 AM