Shahrul Nizam Mohamad


Bentong: “Saya ingatkan ada jemaah tercicir bungkusan kain di tempat wuduk namun terkejut apabila mendapati bungkusan kain itu mengandungi mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat,” kata bilal masjid Kampung Baru, Abdul Aziz Harun, 67, yang menemui mayat bayi berkenaan, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi, mayat bayi perempuan berkenaan ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain berwarna kuning cair sebelum Abdul Aziz meminjam telefon bimbit seorang penduduk yang kebetulan lalu di depan masjid itu dan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk meminta bantuan.

Menceritakan kejadian itu, Abdul Aziz berkata, ketika kejadian dia tiba di masjid berkenaan dan seperti biasa akan membuka lampu serta pintu sebelum berjalan melintasi bungkusan kain namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggap mungkin ada jemaah tercicir bungkusan.

Menurutnya, sebaik saja lampu dibuka dia kemudian berjalan melintasi semula tempat mengambil wuduk berkenaan untuk bersiap sedia melaungkan azan Subuh dan terkejut apabila menyedari bungkusan itu membaluti seorang bayi.

“Saya memberanikan diri melihat dengan lebih dekat dan memeriksa keadaan fizikal bayi itu namun mendapati sudah tidak bergerak dan keadaannya pucat, rupa-rupanya bayi itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong Deputi Superintendan S Somu berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong bergegas ke tempat kejadian dan mengesahkan bayi itu meninggal dunia.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong Asisten Superintendan Ashari Abu Samah
di talian 09-2222222 atau
019-2166789.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 11:33 AM