MAZNI (dua dari kiri) bersama menantunya Mohd Haffiy (kiri) dan anak Noorshihatun (dua dari kanan).
MAZNI (dua dari kiri) bersama menantunya Mohd Haffiy (kiri) dan anak Noorshihatun (dua dari kanan).
Safar Ahmad


Makkah: “Doa saya supaya hubungan dengan adik-beradik dapat dipereratkan semula,” kata Mazni Abdullah, 63, yang sangat mengharapkan dapat berbaik semula dengan keluarganya selepas dia memeluk Islam 44 tahun lalu.

Mazni yang tinggal di Panji, Kota Bharu, Kelantan berkata, dia bersyukur kerana bapanya dapat menerima keputusannya memeluk Islam malah turut menasihati dia supaya mendalami Islam secara serius dan tidak meninggalkan solat.

“Saya memeluk Islam ketika berumur 19 tahun. Saya gembira sebab sampai ke Makkah akhirnya.

“Saya sudah lama menyimpan cita-cita menunaikan haji. Pada 2011 saya tunai umrah... Alhamdulillah Allah jemput saya lagi datang buat haji.

“Saya kumpul duit sejak mula memeluk Islam. Dulu baru masuk Islam saya pergi belajar mengaji dapat duit. Saya tidak guna duit itu sebab saya kumpul untuk ke Makkah,” katanya ketika ditemui di Hotel Land Premium di sini, semalam.

Mazni yang dilahirkan dengan nama Ong Kim Koi berkata, di ke Tanah Suci bersama anak bongsunya Noorshihatun Pinnai Jusoh, 31, dan menantu Mohd Haffiy Ridha Dania, 31, tetapi menginap di hotel berbeza.

Katanya, dia turut berdoa supaya keluarganya yang lain turut diberi hidayah mengikut jejak langkahnya memeluk Islam.

Ibu dan seorang daripada enam adik-beradiknya sudah meninggal dunia.

Menurutnya yang mempunyai dua anak lelaki dan dua perempuan, bapanya kini berusia 98 tahun dan dia masih melawat orang tuanya itu yang uzur jika ada kelapangan.

Mazni berkata, dia turut berterima kasih kepada suaminya Ismail Jusoh, 73, kerana memberi keizinan dia datang ke sini.

Katanya, Ismail adalah suami daripada perkahwinan ketiganya yang mana dua suaminya sebelum ini sudah meninggal dunia.

Suaminya tidak ikut ke Tanah Suci kerana dia sudah datang sebelum ini.

Menceritakan detik awal dia tertarik kepada Islam, Mazni berkata, ketika kecil dia sering mendengar ustaz di sekolah mengajar agama di dalam kelas.

“Ketika ustaz mengajar saya tidak keluar dan turut mendengar apa yang ustaz ajar kepada rakan. Dari situ saya mula tertarik dengan Islam sebelum membuat keputusan memeluk Islam,” katanya.

Mazni berkata, dia juga bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik dan dapat beribadat dengan tenang.

“Saya senang buat ibadat di sini. Alhamdulillah saya pergi surau bersama rakan sebilik. Saya tidak dapat selalu ke masjid kerana jarak agak jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:15 AM