Najib diberi penerangan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz (tiga dari kiri) mengenai Projek LRT3 yang bernilai RM9 bilion.
Najib diberi penerangan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz (tiga dari kiri) mengenai Projek LRT3 yang bernilai RM9 bilion.
Fuad Hadinata Yaacob dan Hairulazim Mahmud


Shah Alam: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu pembinaan, perkhidmatan dan tahap keselamatan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) mencapai taraf kelas dunia.

Beliau berkata, Koridor Barat Lembah Klang mampu meningkatkan lagi unjuran ekonomi negara yang kini mencakupi 37 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) apabila pembinaan LRT3 siap dilaksanakan pada tahun 2020.

Menurutnya, projek jajaran sejauh 37 kilometer (KM) dari Bandar Utama, Petaling Jaya ke Johan Setia, Klang bernilai RM 9 bilion itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk.

“Saya difahamkan teknologi terkini (pembinaan) digunakan adalah ‘U-Trough’ berbanding kaedah pembinaan konvensional. Ini menjadikan standard projek ini bertaraf dunia. Pembinaan (LRT3) akan lebih lancar dan mengikut masa (ditetapkan) di samping tiada kompromi dalam soal keselamatan,” katanya pada Majlis Pelancaran LRT3 di Stadium Malawati di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Tan Sri Ismail Adam.

Kerja pembinaan LRT3 dijadualkan bermula awal tahun depan dan dijangka siap pada 31 Ogos 2020.

Jajarannya akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Segmen 1 (Bandar Utama-Persada PLUS), Segmen 2 (Glenmarie-Bukit Raja) dan Segmen 3 (Kawasan 17-Johan Setia) membabitkan 26 stesen.

Dalam pada itu Najib mengumumkan diskaun 50 peratus kepada pengguna LRT dan Monorel antara jam 6 pagi hingga 7 pagi mulai 16 September ini.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Mohamed Azmin atas kerjasama kerajaan negeri melancarkan lagi pembinaan projek berkenaan.

Beliau berkata, walaupun mereka mempunyai perbezaan pandangan namun fokus Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri adalah demi rakyat.

“Walaupun kita berbeza pandangan tetapi perlu diingat rakyat mesti didahulukan,” katanya sambil disambut sorakan gemuruh daripada hadirin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 6:46 AM