ROSMAH bersama kanak-kanak pada Majlis Pelancaran Program Perkhemahan Pintar dan Berbakat PERMATA Negara,  semalam.
ROSMAH bersama kanak-kanak pada Majlis Pelancaran Program Perkhemahan Pintar dan Berbakat PERMATA Negara, semalam.
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kanak-kanak pintar dan bijak seawal usia dua hingga empat tahun akan dipilih bagi mengikuti program Perkhemahan Sains Kanak-Kanak 2016 iaitu program pertama di dunia yang mendedahkan kanak-kanak awal usia kepada bidang Biologi, Kimia, Kejuruteraan, Fizik dan Forensik.

Program anjuran PERMATA itu akan berlangsung selama lima hari pada November depan.

Bagaimanapun, pemilihan kanak-kanak bagi menyertai program unik itu bukan mudah kerana setiap peserta perlu menduduki ujian Skala Kepintaran Kanak-kanak PERMATA (PCIS) terlebih dahulu sebelum mereka layak dipertimbangkan.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor juga Penaung Program PERMATA berkata, beliau berharap ujian PCIS yang dibangunkan itu membolehkan PERMATA mengesan lebih ramai kanak-kanak pintar dan berbakat di negara ini.

“Ujian ini boleh diambil secara dalam talian menerusi alamat pcis.upsi-ukm.edu.my dan ia dibuka bermula 27 Ogos selama dua bulan,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Perkhemahan Pintar dan Berbakat PERMATA Negara di Seri Perdana, semalam.

Katanya, kanak-kanak yang berjaya mencapai skor PCIS ditetapkan akan ditawarkan menghadiri perkhemahan diadakan di lima pusat mengikut zon iaitu zon utara (Alor Setar, Kedah), zon tengah (Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak), zon selatan (Kolej PERMATA Pintar, Selangor), zon timur (Kuala Terengganu) dan Sabah serta Sarawak (Kuching).

Dalam pada itu, Rosmah berkata, berdasarkan ujian IQ dijalankan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) di UPSI dan Pusat PERMATA Pintar ke atas 1,470 kanak-kanak dari 82 Taska PERMATA, seramai 21 kanak-kanak pintar berusia dua hingga empat tahun dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 6:29 AM