Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Syariah, semalam menggantung keputusan perintah komital (pemenjaraan) yang difailkan Rozana Misbun terhadap bekas suaminya, vokalis kumpulan Wings, Awie berhubung kegagalan penyanyi itu mengikut arahan mahkamah termasuk hak penjagaan sementara anak sulung mereka.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain memutuskan demikian selepas mengambil kira permohonan semakan Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, selaku responden terhadap ketiga-tiga perintah mahkamah sebelum ini yang masih dalam peringkat semakan di Mahkamah Rayuan Syariah dan belum mendapat sebarang keputusan.

Ia membabitkan hak penjagaan sementara Putra Ahmad Merrah, 9, serta pembayaran kos mahkamah masing-masing RM900 dan RM5,000.

Keputusan mahkamah itu dibacakan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Nor’azura Jamalulludin.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Permohonan itu dibuat Rozana mengikut Seksyen 229, Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, peguam syarie Mohd Syafiq Norizan yang mewakili Awie berkata Mahkamah Tinggi dalam keputusannya menyatakan bahawa mereka sedar ketiga-tiga perintah yang dikatakan dilanggar anak guam masih dalam semakan Mahkamah Rayuan Syariah dan mahkamah tidak boleh membuat keputusan yang melangkaui Mahkamah Rayuan.

“Jadi mereka membuat perintah iaitu menggantung keputusan atau prosiding komital ini untuk tempoh dua bulan hingga keluar keputusan daripada Mahkamah Rayuan,” katanya.

Pada prosiding itu, Rozana hadir diwakili peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif.

Sementara itu, Awie berharap keputusan mahkamah kelak akan berpihak kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:10 AM
Rozana  dan Awie menghadiri prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, semalam.
Rozana dan Awie menghadiri prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, semalam.